Home Semasa Banjir: Bantuan makanan, aset akan disalurkan segera – Perdana Menteri

Banjir: Bantuan makanan, aset akan disalurkan segera – Perdana Menteri

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 19 Dis – Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menjelaskan, segala bentuk bantuan, makanan dan aset akan dihulurkan dengan kadar segera kepada mangsa banjir akibat hujan sejak Jumaat lalu.

Menurutnya, bantuan aset-aset juga akan segera dilakukan bagi memastikan kerja-kerja membantu mangsa banjir berjalan dengan lancar.

“Saya terus ke SK Johan Setia, Klang pagi ini bertemu mangsa banjir,

“Keutamaan saya pastikan bantuan makanan dan segala aset sampai segera,”katanya.

Beliau berkata demikian selepas melawat mangsa banjir di Sekolah Kebangsaan Johan Setia Klang, yang menempatkan 690 mangsa.

Terdahulu, Ismail Sabri turut mengarahkan semua kementerian berkaitan untuk menggerakkan aset ke kawasan terjejas banjir.

Beliau memaklumkan telah berhubung dengan Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Affendi Buang TUDM dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani bagi menggunakan aset pasukan keselamatan terbabit bagi tujuan pemindahan mangsa banjir.

Jelasnya, aset itu juga adalah bagi memastikan bekalan makanan serta keperluan selain khidmat kesihatan disediakan segera di pusat pemindahan sementara (PPS).

“Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) juga diminta untuk turut bekerjasama dengan wakil rakyat di setiap kawasan kerana mereka juga mempunyai maklumat mangsa banjir dan pengumpulan maklumat ini dapat menyegerakan semua pelaksanaan pemindahan dan bantuan,

“Saya juga telah mengarahkan NADMA untuk menyediakan talian kecemasan bagi komunikasi mangsa banjir yang masih terperangkap selain mendapatkan maklumat di laman media sosial rasmi NADMA dan agensi-agensi terlibat,” katanya dalam satu hantaran di Facebook rasmi beliau malam tadi.

Sementara itu, Markas Angkatan Tentera Malaysia (ATM) memaklumkan, Panglima Angkatan tentera turut melakukan tinjauan atur gerak penugasan anggota dan aset ATM yang terlibat bagi membantu penduduk yang terjejas akibat banjir teruk di sekitar kawasan Lembah Klang, awal pagi tadi.

Menurutnya, ATM sentiasa memberi perhatian serius terhadap kebajikan rakyat terutamanya ketika berhadapan dengan bencana alam.

“Kini anggota ATM sedang giat dalam usaha pemindahan mangsa dan akan mengaturgerakkan anggota dan aset dengan segera di kawasan yang terjejas teruk,

“ATM sentiasa bersiap siaga dalam mengatur gerak aset-asetnya dan mendukung setiap misi-misi bantuan dan di dalam masa yang sama memastikan SOP berkenaan pencegahan COVID-19 sentiasa dipatuhi,” jelas ATM. -airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply