Home Semasa Saifuddin ke Islamabad, bincang situasi kemanusiaan di Afghanistan

Saifuddin ke Islamabad, bincang situasi kemanusiaan di Afghanistan

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 17 Dis – Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Saifuddin Abdullah akan mengetuai delegasi Malaysia ke Mesyuarat Sesi Luar Biasa ke-17 Majlis Menteri-Menteri Luar Negeri Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) pada 19 Disember ini di Islamabad, Pakistan.

Mesyuarat Sesi Luar Biasa ini akan membincangkan langkah bagi mengurangkan kesan krisis kemanusiaan di Afghanistan dan mekanisme bagi memastikan bantuan sewajarnya dapat dikoordinasikan dengan baik kepada rakyat Afghanistan.

Wisma Putra dalam satu kenyataan pada Jumaat berkata, Saifuddin juga dijangka akan menyampaikan kenyataan negara sewaktu mesyuarat berkenaan dengan mengetengahkan keazaman Malaysia untuk membantu situasi kemanusiaan di Afghanistan.

“Beliau juga akan mengesahkan sokongan negara terhadap penyelesaian yang aman dan berkekalan demi kepentingan Afghanistan dan rakyat Afghanistan,

“Satu kenyataan akhir dijangka akan diterima pakai sebagai dokumen hasil mesyuarat tersebut,” jelas Wisma Putra.

Menurutnya, sebagai ahli pengasas OIC, Malaysia akan terus mengambil bahagian secara aktif dalam semua inisiatif OIC demi kemaslahatan ummah.

“Sebagai Pengerusi Sidang Kemuncak Islam OIC, Arab Saudi telah menyeru agar Mesyuarat Sesi Luar Biasa ini diadakan untuk membincangkan situasi kemanusiaan di Afghanistan,

“Pakistan telah menawarkan untuk menjadi tuan rumah bagi mesyuarat ini di Islamabad,” katanya.

Pada masa yang sama, Saifuddin juga dijadualkan untuk mengadakan pertemuan dengan rakan sejawatannya, Menteri Luar Negeri Pakistan sebelum Mesyuarat Sesi Luar Biasa bagi membincangkan isu-isu kepentingan bersama serta membuat kunjungan hormat ke atas Presiden dan Perdana Menteri Pakistan.

Tambahnya, mesyuarat Sesi Luar Biasa ini juga akan diadakan mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) COVID-19 yang ketat yang telah diselaraskan oleh kerajaan Malaysia dan Pakistan.-aitimes.my

Related Articles

Leave a Reply