Home Pertahanan dan Keselamatan Bot karam: 3 helikopter diaturgerak cari 17 PATI hilang

Bot karam: 3 helikopter diaturgerak cari 17 PATI hilang

by Nurulhuda

KOTA TINGGI, 17 Dis – Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM) Johor masih meneruskan usaha bagi mengesan 17 mangsa tragedi bot karam yang dipercayai masih hilang.

Timbalan Pengarah Operasi Agensi Penguat kuasa Maritim Malaysia (APMM) Johor, Kepten Maritim Simon Templer Lo Ak Tusa berkata, 3 helikopter akan diaturgerakkan pada hari ketiga operasi mencari dan menyelamat (Op Carilamat) di sekitar perairan Tanjung Balau.

Beliau menjelaskan, sebuah helikopter AW139 dari APMM, sebuah dari Pasukan Gerakan Udara (PGU) Polis Diraja Malaysia (PDRM) manakala sebuah lagi helikopter Mi-17 daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM), digerakkan bagi pencarian udara hari ini.

“Op Carilamat yang memasuki hari ketiga hari ini dengan usaha bagi mengesan 17 mangsa lagi yang dipercayai masih hilang, diteruskan,

“Hingga jam 8.00 pagi ini, tiada penemuan baharu. Penemuan 8 mayat pada hari kedua semalam menjadikan keseluruhan mangsa yang ditemui kekal 19 orang pendatang asing tanpa izin (PATI) maut, 17 masih hilang manakala 14 selamat,

“Sektor pencarian hari ini diperluaskan sehingga 214.8 batu nautika persegi membabitkan Tanjung Balau hingga ke Tanjung Penawar,

Tambahnya, pencarian di laut akan melibatkan 5 aset laut iaitu sebuah kapal APMM iaitu KM Tegas selaku ‘On Scene Coordinator’, sebuah bot Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan 2 aset Pasukan Polis Marin (PPM) iaitu sebuah kapal dan sebuah bot.

Dalam kejadian awal pagi Rabu itu, bot pancung yang membawa 50 PATI dari Lombok dan transit di Batam, karam dibadai ombak di perairan Tanjung Balau.

Pengarah Maritim Negeri Johor, Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria berkata, dalam kejadian jam 4.30 pagi itu bot pancung terbabit dipercayai karam akibat dibadai ombak akibat cuaca buruk.

Sementara itu, Simon berkata, pencarian di pesisir pantai juga diteruskan oleh agensi lain membabitkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), JBPM, PDRM dan juga Angkatan Pertahanan Awam Malaysia(APM).

“Jumlah keseluruhan anggota penyelamat di darat, udara dan laut yang terbabit dalam operasi hari ketiga hari ini adalah seramai 128 orang,” ujarnya. -airtimes.my

 

Related Articles

Leave a Reply