Home Semasa KKM kesan kes kedua Omicron di Malaysia – Khairy

KKM kesan kes kedua Omicron di Malaysia – Khairy

by Nurulhuda

[embedyt] https://www.youtube.com/watch?v=LyXraY3fm3M[/embedyt]

 

KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan kes Omicron kedua dikesan di negara ini.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, kes Omicron kedua tersebut merupakan seorang kanak-kanak perempuan berumur 8 tahun warga Malaysia yang menetap bersama keluarganya di Lagos, Nigeria.

“Keputusan ujian RT-PCR COVID-19 ke atas kes (kanak-kanak perempuan itu) sebelum berlepas ke Malaysia adalah negatif,” katanya dalam sidang media di bangunan Parlimen, hari ini.

Beliau berkata, kanak-kanak itu tiba di Malaysia bersama ibu dan adik perempuannya pada 5 Disember lalu dari Lagos dengan penerbangan transit di Doha, Qatar.

“Keputusan ujian RT PCR terhadap kanak-kanak itu didapati positif COVID-19 pada 7 Disember 2021, namun tidak mempunyai gejala dan diarahkan menjalani isolasi di rumah selama 14 hari,” jelasnya.

Kahiry berkata, kontak rapat kanak-kanak perempuan itu dikenal pasti terdiri daripada ibu, adik perempuan, bapa dan pemandu teksi yang membawa kes dan keluarganya dari KLIA ke tempat kediaman.

“Semua ujian dijalankan ke atas ibu dan adik perempuannya iaitu ujian sebelum berlepas ke Malaysia, semasa ketibaan, pada hari ke-5 dan pada hari ke-11 menunjukkan keputusan negatif,

“Ujian RT-PCR COVID-19 bagi pemandu teksi sedang dijalankan. Ketiga-tiganya tidak bergejala dan diarahkan menjalani arahan kuarantin selama 14 hari,

“Bapa kes pula telah tiba di Malaysia pada 12 Disember 2021 dan menjalani arahan kuarantin di sebuah stesen kuarantin swasta. Ujian RTPCR bapa kes pada hari ketibaan adalah negatif,” ujarnya.

Menurut beliau, terdapat seramai 35 orang kontak dalam penerbangan dan keputusan ujian RT-PCR COVID-19 semasa ketibaan dan pada hari ke-5 bagi kesemua kontak itu juga negatif.

Bagaimanapun, kata beliau, pemantauan kes dan kontak yang dikenal pasti dilaksanakan secara menyeluruh dari semasa ke semasa.

Dalam masa yang sama, Khairy memaklumkan hasil ujian PCR Genotyping Assay yang dijalankan, sebanyak 18 kes lagi menunjukkan kemungkinan varian Omicron dan kini sedang menunggu keputusan pengesahan daripada jujukan genom penuh (WGS).

“Keputusan dijangka akan diperolehi pada 17 Disember 2021,

“Buat masa ini kita tak boleh maklumkan dari negara mana semua kes ini sehingga keputusan diperolehi,” ujarnya. -airtimes.my

 

Related Articles

Leave a Reply