Home Pertahanan dan Keselamatan Bot karam: 5 lagi mayat PATI ditemui pagi ini

Bot karam: 5 lagi mayat PATI ditemui pagi ini

by Nurulhuda

KOTA TINGGI, 16 Dis – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) mengesahkan 5 lagi mayat mangsa insiden bot karam yang membawa 50 pendatang asing tanpa izin (PATI) di Tanjung Balau semalam, telah dijumpai awal pagi tadi.

Timbalan Pengarah Operasi Negeri, Kepten Simon Templer Lo Ak Tusa berkata, dengan penemuan 3 mayat lelaki dan 2 wanita itu menjadikan keseluruhan mangsa seramai 30 orang iaitu 14 mangsa selamat serta 16 mangsa telah meninggal dunia.

Beliau berkata, kesemua mayat dijumpai terdampar di persisir pantai dengan jarak 500 hingga 2.5 kilometer dari lokasi kejadian sekitar jam 6.45 pagi hingga 7.45 pagi.

“APMM bersama agensi sahabat meneruskan Operasi Cari dan menyelamat (OP CARILAMAT) hari kedua bagi mengesan lagi baki lebih kurang 20 mangsa yang masih belum temui berikutan insiden bot karam yang membawa lebih kurang 50 PATI di Tanjung Balau awal pagi semalam,

“Op Carilamat akan melibatkan keluasan 147 batu nautika pencarian di laut sekitar perairan Tanjung Balau dengan kekuatan aset Kapal APMM (KM) TEGAS dan bot PETIR 50 APMM serta aset-aset daripada agensi yang lain,

“Manakala pencarian sektor udara seluas 76.5 batu nautika dengan menggunakan sebuah pesawat udara AW139 APMM,” jelasnya dalam kenyataan, hari ini.

Simon menjelaskan, Op Carilamat turut melibatkan 133 petugas di Pangkalan Hadapan CARILAMAT (PHC) terdiri daripada Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Pasukan Polis Marin (PPM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Semalam, media melaporkan sekurang-kurangnya 11 terbunuh manakala 25 lagi PATI hilang selepas bot dinaiki mereka karam akibat cuaca buruk di perairan Tanjung Balau, kira-kira pukul 4.30 pagi.

Dianggarkan seramai 50 orang PATI berada di dalam bot berkenaan dengan 14 orang dilaporkan selamat.

Sementara itu, Markas Divisyen Ketiga Infantri Malaysia (3 Div) dalam kenyataan memaklumkan, kesemua PATI itu dipercayai hendak masuk ke Malaysia melalui jalan yang tidak diwartakan.

Jelasnya, anggaran nilai barang rampasan dalam operasi itu bernilai RM128,000 melibatkan bot sepanjang 44 kaki dan 4 enjin bot berkuasa kuda 200.

“Pasukan meneruskan atur gerak Tim Quick Reaction Force (QRF) dan Tim Dron ATM serta bantuan dari pasukan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) bagi menjejak kemungkinan saki baki PATI di sekitar kawasan terbabit,” tambahnya. -airtimes.my

 

Related Articles

Leave a Reply