Home Semasa SOP perayaan Krismas dan Thaipusam diperhalusi – Hishammuddin

SOP perayaan Krismas dan Thaipusam diperhalusi – Hishammuddin

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 14 Dis – Kerajaan kini sedang memperhalusi prosedur operasi standard (SOP) sambutan perayaan Krismas dan Thaipusam bagi menjamin keselamatan serta kesihatan rakyat termasuk penularan varian Omicron di dalam negara.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein menjelaskan, perincian SOP itu dibincangkan bersama Menteri Perpaduan Negara, Datuk Halimah Mohamed Sadique, Menteri Sumber Manusia, Datuk M Saravanan, Kementerian Kesihatan (KKM) dan beberapa pihak berkaitan dalam Mesyuarat Kuartet di Parlimen, hari ini.

Beliau menjelaskan, kerajaan masih ada masa untuk memutuskan SOP sambutan kedua-dua perayaan itu sebelum sambutan Krismas pada 25 Disember ini dan Thaipusam pada 18 Januari tahun depan.

“Bagi perayaan Krismas, tumpuan diberikan terhadap perangkaan SOP upacara sembahyang, aktiviti berkunjung ke rumah keluarga, persembahan secara langsung, upacara nyanyian koir atau carolling dari rumah ke rumah dan gerai jualan Krismas,

“Manakala bagi perayaan Thaipusam pula, tumpuan diberikan terhadap perangkaan SOP upacara sembahyang di kuil, perjalanan dan pergerakan kereta ‘Chariot’, membawa Kavadi, membawa Paal Koodam, mencukur rambut, upacara ritual (mandi) di sungai dan pembukaan gerai jualan,

“Pihak KKM, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kementerian Perpaduan Negara dan pihak kuil akan turun ke lapangan untuk meneliti kapasiti ruang, keperluan logistik serta tempat persinggahan sepanjang perjalanan dan pergerakan kereta ‘Chariot’, ” jelasnya, hari ini.

Hishammuddin berkata, SOP ini akan diumumkan oleh Kementerian Perpaduan Negara dalam masa terdekat dan menyeru orang ramai mematuhinya.

“Penting untuk difahami, dalam menentukan setiap SOP, keutamaan kerajaan ialah keselamatan dan kesihatan rakyat terutamanya mengambil kira penularan varian Omicron di seluruh dunia ketika ini.

“Saya juga faham, hujung tahun seperti sekarang, ramai akan pulang ke kampung dan bercuti bersama keluarga. Pastikan pakai pelitup muka, elakkan tempat sesak, dapatkan dos penggalak jika layak, lakukan ujian COVID-19 secara berkala dan paling penting amalkan TRIIS (Uji, Lapor, Asing, Maklum, Dapatkan rawatan),” tambahnya.

 

 

Related Articles

Leave a Reply