Home Pertahanan dan Keselamatan Campak 695kg daun ketum, elak dicekup APMM

Campak 695kg daun ketum, elak dicekup APMM

by Nurulhuda

LANGKAWI, 13 Dis – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Negeri Kedah dan Perlis merampas 695 kilogram daun ketum bernilai RM125,000 yang dibuang kumpulan penyeludup ke dalam laut ketika melarikan diri di perairan Pulau Tanjung Dendang, awal pagi semalam.

Pengarah APMM Kedah Dan Perlis, Laksamana Pertama Maritim Mohd Zawawi Abdullah berkata, pihaknya sebelum itu mengesan sebuah bot bergerak menghala ke negara jiran dalam keadaan gelap dan mencurigakan, kira-kira jam 3.30 pagi.

“Berikutan itu, sebuah bot ronda APMM yang sedang melaksanakan rondaan telah diatur gerak ke lokasi untuk serbuan dan pemeriksaan,

“Sebaik menyedari kehadiran pihak berkuasa, tekong bot berkenaan bertindak memecut laju ke arah perairan sempadan Malaysia-Thailand dan meloloskan diri dengan membuang sejumlah objek ke laut,” jelasnya dalam kenyataan, hari ini.

Mohd Zawawi berkata, pemeriksaan ke atas objek yang dibuang telah membawa kepada penemuan 57 bungkusan plastik berwarna hitam disyaki daun ketum beranggaran berat lebih kurang 695 kilogram dengan nilai RM125,000.00.

“Harga pasaran yang tinggi di negara jiran sehingga mencecah RM180 sekilogram dilihat sebagai faktor pendorong kepada aktiviti ini, dengan disokong oleh faktor upah transporter yang lumayan bagi setiap hantaran dianggarkan sekitar RM350 hingga RM800 berdasarkan berat muatan,” tambahnya.

Menurutnya, kes akan disiasat di bawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 kerana penyalahgunaan ketum termasuk mengimport, menjual, memproses dan lain-lain berkaitan bahan tersebut.-airtimes.my

 

Related Articles

Leave a Reply