Home Semasa 2 lelaki Bangladesh dalang sindiket pemalsuan dokumen ditahan Imigresen

2 lelaki Bangladesh dalang sindiket pemalsuan dokumen ditahan Imigresen

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 13 Dis – Kegiatan 2 orang lelaki warga Bangladesh berusia 34 dan 37 tahun yang menjadikan sebuah apartment di Wangsa Maju sebagai markas memproses dan menghasilkan dokumen palsu akhirnya terbongkar.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Indera Khairul Dzaimee Daud berkata, operasi yang dilakukan pada 6 Disember lalu merupakan rentetan dari tangkapan yang dilakukan pada 25 November lalu terhadap seorang lelaki warganegara Myanmar berusia dalam lingkungan 30-an yang merupakan orang perantaraan kepada sindiket ini.

Beliau berkata, semasa serbuan dilakukan, kedua-dua suspek sedang menyiapkan tempahan yang diterima iaitu pelekat Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) dan pasport.

“Kedua-dua suspek cuba melarikan diri tetapi telah berjaya ditangkap oleh anggota serbuan, memandangkan kediaman berkenaan telah dikepung,

“Pemeriksaan di premis tersebut mendapati sebuah bilik telah digunakan untuk menghasilkan pelbagai jenis dokumen palsu,

“Antara yang dirampas adalah set peralatan komputer, mesin pencetak kad dan beberapa peralatan yang digunakan untuk menghasilkan dokumen palsu,” jelasnya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Selain itu, beliau berkata, pihaknya turut menjumpai pelekat-pelekat keselamatan Imigresen, Kad CIDB dan pasport pelbagai negara seperti India, Bangladesh, Nepal dan Myanmar yang telah siap dicetak untuk diserahkan kepada pelanggan.

“Modus operandi sindiket adalah mengunakan orang tengah bagi mencari pelanggan yang memerlukan perkhidmatan mereka,

“Sasaran sindiket merupakan warganegara Bangladesh, Myanmar, Nepal dan India. Sindiket ini dikesan telah menjalankan kegiatan sejak setahun yang lalu dan mengenakan bayaran antara RM300 hingga RM500 bagi pelekat PLKS,

“Manakala bagi kad CIDB dan pasport bayaran dikenakan antara RM100 hingga RM300,” ujarnya.

Khairul Dzaimee kes disiasat dibawah Seksyen 55D Akta Imigresen 1959/63 kerana kesalahan menghasilkan dokumen palsu dan seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak memiliki pas yang sah.

Tambahnya, kedua-dua suspek ditahan di Depot Imigresen Semenyih untuk siasatan dan tindakan lanjut. -airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply