Home Pertahanan dan Keselamatan Tiada laporan ancaman godam sistem pertahanan negara – Hishammuddin

Tiada laporan ancaman godam sistem pertahanan negara – Hishammuddin

by Nurulhuda

[embedyt] https://www.youtube.com/watch?v=_d6nbes1MQo[/embedyt]

 

KUALA LUMPUR, 11 Dis – Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein menjelaskan, sehingga kini Angkatan Tentera Malaysia (ATM) tidak menerima sebarang laporan rasmi berhubung ancaman penggodam luar yang cuba menceroboh sistem pertahanan negara.

Beliau berkata, Bahagian Staf Perisikan Pertahanan (BSPP) dan Pusat Operasi Pertahanan Siber (CDOC) sentiasa proaktif melakukan pemantauan rapi dalam perkara itu untuk memastikan sistem pertahanan negara sentiasa terpelihara dari sebarang ancaman asing.

“Laporan itu datang dari sebuah syarikat keselamatan siber swasta yang berpangkalan di Amerika Syarikat (AS), tapi kita tidak boleh bertindak bersandarkan kepada hanya (laporan) sedemikian,

“Setakat ini tiada laporan rasmi diterima tapi akan siasat dan kita mempunyai agensi ditugaskan yang mempunyai kepakaran untuk menentukan kesahihan apa didakwa,” katanya dalam sidang media khas Pasca Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) 100 hari di Wisma Perwira ATM, pada Jumaat.

Beliau berkata demikian bagi mengulas berkaitan portal luar negara melaporkan syarikat keselamatan siber AS dalam satu laporan mendakwa penggodam China disyaki mempunyai kaitan dengan republik itu menyasarkan organisasi sektor kerajaan dan swasta di seluruh Asia Tenggara terutama negara mengemukakan tuntutan ke atas Laut China Selatan.

Organisasi yang terjejas termasuk Pejabat Perdana Menteri, Kementerian Pertahanan dan Kementerian Luar di beberapa negara terutama 3 negara di Asia Tenggara iaitu Malaysia, Indonesia dan Vietnam.

Sementara itu, ditanya kemungkinan ancaman terbabit adalah cubaan mengganggu hubungan baik 3 negara berkenaan, Hishammuddin tidak menolak kemungkinan itu selain faktor geopolitik.

“Apa jua kenyataan daripada satu ‘super power’ akan dapat reaksi ‘super power’ yang lain dan negara kecil macam kita terpaksa berhadapan dengan tempiasnya.

“Namun, tugas saya sebagai Menteri Pertahanan adalah untuk melihat kepada keselamatan dan pertahanan kita secara realiti tidak untuk menari mengikut geopolitik dan pertimbangan pihak tertentu, jauh nak melayani syarikat swasta yang dengan sewenang-wenangnya menyatakan sesuatu,” tambahnya. -airtimes.my

 

Related Articles

Leave a Reply