[embedyt] https://www.youtube.com/watch?v=gJ8cqFnmBd0[/embedyt]
SUNGAI BESI, 9 Dis – Kesemua petunjuk prestasi utama (KPI) Kementerian Pertahanan yang ditetapkan telah dicapai dan disempurnakan dalam tempoh 100 hari pentadbirannya.
Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussien menjelaskan, KPI itu dicapai melalui 15 inisiatif di bawah 6 aspirasi merangkumi aspek dalam memerangi COVID-19; mengawal sempadan negara; mengeratkan kerjasama antarabangsa; memenuhi keperluan kediaman anggota; membela kebajikan veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan melaksanakan program jiwa murni.
“Kesemua KPI itu dicapai melalui pelaksanaan Combat Medic Vaccination Team di mana anggota telah menempuhi pelbagai perjalanan khususnya di Sabah dan Sarawak bagi membantu Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di mana program itu telah berjaya memberi vaksin kepada 25,092 penduduk di kawasan pedalaman tersebut,
“Selain itu juga, kementerian turut mengatur Vaksinasi Pandu Lalu di mana dalam tempoh tidak sampai 2 bulan, 14,097 remaja telah menerima vaksinasi lengkap hasil daripada inisiatif ini,” katanya ketika berucap pada Majlis Aspirasi 100 Hari ATM di Kem Perdana Sungai Besi, hari ini.

Kementerian Pertahanan juga sedang melaksanakan perancangan untuk membina 28,033 unit RKMAT di seluruh negara bermula tahun ini sehingga tahun 2030. – Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussien
Selain itu, Hishammuddin berkata, kementerian turut melaksanakan Operasi Benteng (Op Benteng) bagi membanteras kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI) di sempandan-sempadan negara.
“Setakat 7 Disember, seramai 17,023 PATI telah berjaya ditangkap melalui pelaksanaan Ops Benteng.
“Dalam pada itu juga, KPI kementerian turut dicapai melalui pengoperasian Hospital Medan ATM yang telah membantu KKM dalam merawat ribuan pesakit COVID-19 dengan penglibatan pasukan perubatan dari Kor Kesihatan Diraja (KKD),” jelasnya.
Hishammddin berkata, sepanjang tempoh 100 hari juga, Kementerian Pertahanan telah berjaya melaksanakan sebanyak 107 Projek Jiwa Murni (PJM pada tahun ini dan setiap satunya telah disempurnakan hasil kerja keras anggota dari Rejimen Jurutera Diraja (RAJD).
“Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) juga telah mengatur 21 penerbangan bantuan bagi membawa peralatan perubatan COVID-19 khususnya ke Sabah dan Sarawak serta Semenanjung.
“Dari sudut perumahan pula, untuk 100 hari pertama ini, matlamat kita adalah menyediakan sekurangnya-kurang 2,000 unit kediaman baharu dan ia telah dapat direalisasikan menerusi pelancaran 2,000 unit Rumah Keluarga Malaysia Angkatan Tentera (RKMAT) di Bukit Jalil oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada 3 November lalu,” jelasnya.
Dalam pada itu, Hishammuddin berkata, MINDEF juga sedang melaksanakan perancangan untuk membina 28,033 unit RKMAT di seluruh negara bermula tahun ini sehingga tahun 2030.
“Kementerian akan turut memberi tumpuan terhadap perancangan jangka masa panjang melalui Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12), Pelan Strategik MINDEF 2021-2025; serta Dasar Industri Pertahanan dan Keselamatan Negara (DIPKN) yang akan dimuktamadkan tidak lama lagi,” ujarnya.
“Keupayaan MINDEF dan ATM menjayakan perancangan 100 hari ini amat baik, namun kita tidak boleh cepat berpuas hati,
“Sebab itulah saya ingin maklumkan, biar pun hari ini kita bercakap tentang pencapaian 100 hari, tanpa melengahkan masa, esok MINDEF akan memulakan perancangan pasca 100 harinya dan saya sendiri akan melihat apakah dasar dan inisiatif yang boleh dilaksanakan sepanjang tahun 2022 melalui Pelan Tindakan 2022,
“MINDEF juga akan memberi tumpuan terhadap perancangan jangka masa panjang melalui Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12), Pelan Strategik MINDEF 2021-2025 serta Dasar Industri Pertahanan dan Keselamatan Negara (DIPKN) yang akan dimuktamadkan tidak lama lagi,” ujarnya.
Terdahulu, Hishammuddin telah menerima Kawalan Kehormat Utama (KKU) daripada Batalion Pertama Askar Melayu Diraja (1 RAMD).
Selepas itu, beliau dipertontonkan dengan tayangan montaj Aspirasi Keluarga Malaysia Kementerian Pertahanan dan disusuli demostrasi Operasi Menyelamatkan Tebusan oleh pasukan khas ATM yang terdiri daripada 21 Grup Gerak Khas (GGK), Pasukan Khas Laut (PASKAL) dan Pasukan Khas Udara (PASKAU).
Kemudian 8 Detasmen yang terdiri daripada Detasmen Tentera Darat Malaysia (TDM), Detasmen Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Detasmen Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dengan kekuatan seramai 47 pegawai dan 968 anggota lain-lain pangkat telah mempersembahkan perbarisan berkonsepkan perbarisan tempur.
Turut hadir, Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz; Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Seri Muez Abd Aziz dan Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Affendi Buang. -airtimes.my
Galeri gambar: