Home Pertahanan dan Keselamatan 163 graduan Kursus Pemerintahan dan Staf Malaysia terima Diploma

163 graduan Kursus Pemerintahan dan Staf Malaysia terima Diploma

by Nurulhuda

[embedyt] https://www.youtube.com/watch?v=pIbp6wZEyQI[/embedyt]

 

PUTRAJAYA, 8 Dis – Seramai 163 penuntut Kursus Pemerintahan dan Staf Malaysia (KPSM) siri 50/2021 telah menerima sijil Passed Staff College-Joint (psc-j) serta penganugerahan Diploma Pascasiswazah Pengajian Strategi dan Pertahanan, hari ini.

Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Affendi Buang TUDM menjelaskan, kursus kali ini telah dihadiri seramai 125 pegawai tentera dari ketiga-tiga perkhidmatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM) serta 36 orang pegawai tentera dari luar negara.

“Saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada peserta kursus dari pelbagai agensi kerana telah berjaya menghabiskan kursus yang mencabar ini,

“Tidak perlu dijelaskan lagi bahawa pencapaian anda di sini adalah sebagai mercu tanda dalam kerjaya dan semoga ianya menjadi penanda aras untuk meneruskan perkhidmatan dengan cemerlang di pasukan kelak,

“Lebih membanggakan, kursus ini berjalan dalam waktu negara sedang berhadapan dengan wabak pandemik COVID-19. Pelbagai dugaan dan cabaran terpaksa dihadapi, namun, peserta tetap meneruskan kursus sehingga penamatnya dan hari ini, hari kemuncaknya,” jelas Affendi ketika berucap pada majlis Graduasi dan Penyampaian Diploma KPSM siri 50/2021 di Auditorium Utama, Pusat Pengajian Pertahanan Nasional (PUSPAHANAS), pada Rabu.

Affendi turut menjelaskan, majlis ini juga bersempena Jubli Emas 50 tahun penubuhan Maktab Turus Angkatan Tentera (MTAT) yang telah ditubuhkan pada 8 Januari 1971 di Haigate, Kuala Lumpur.

“Dalam pada itu, MTAT turut meraikan 50 tahun penubuhannya pada tahun ini, setelah menyaksikan pelbagai perubahan dalam geostrategi global dan serantau sehingga menghasilkan satu siri evolusi untuk warga ATM,

“Sesuai dengan tujuan penubuhan MTAT, kolej melahirkan warga yang terpelajar dan mempelajari semula produk perubahan untuk diajar kepada generasi pegawai, di dalam dan di luar ATM agar terus cemerlang serta seiring dengan peredaran semasa,

“Lebih ramai kakitangan yang terpelajar dan berkelayakan tinggi telah diambil bekerja untuk menjadi tenaga pengajar kepada peserta kursus yang terdiri daripada pelbagai agensi,

“Pemindahan MTAT ke PUSPAHANAS di Putrajaya yang dibina dengan infrastruktur dan kemudahan yang canggih turut menjadi suatu evolusi baharu kepada institusi yang dihormati ini,” tambahnya.

Dalam masa yang sama beliau menjelaskan pencapaian hari ini bukanlah jalan penghujung kepada para pegawai tetapi ia adalah suatu permulaan bagi mencapai kejayaan yang lebih besar di masa hadapan.

“Ia merupakan pencapaian penting dalam usaha sepanjang perkhidmatan, pencarian untuk kepakaran profesional dan pencarian kebijaksanaan yang tidak berkesudahan,

“Masa depan bukan untuk mereka yang lemah semangat dan saya yakin sepenuhnya bahawa MTAT telah cukup menyediakan anda semua untuk menghadapi cabaran yang mendatang,” ujarnya.

Terdahulu, kesemua 163 peserta telah menerima sijil psc-j serta penganugerahan Diploma Pascasiswazah Pengajian Strategi dan Pertahanan oleh Panglima Angkatan Tentera.

Kurikulum KPSM siri ini telah dibahagikan kepada 3 modul iaitu Modul Pengajian Polisi dan Strategi, Modul Pemerintahan, Kepimpinan dan Pengurusan serta Modul Pengajian Ketenteraan yang dianjurkan dalam 3 semester selama setahun.

Program Diploma Pascasiswazah ini telah dibangunkan dengan kerjasama di antara MTAT dengan Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM).

MTAT merupakan sebuah institusi pendidikan tinggi ATM yang menyediakan pengajian profesional di peringkat Diploma Lepasan Ijazah kepada pegawai-pegawai berpangkat Mejar atau setaraf daripada ketiga-tiga perkhidmatan.

Anugerah Lembaga MTAT kali ini dinobatkan kepada Mejar Eugene Gnanaratchagar Gnanakkan sebagai Penuntut Kursus Tempatan Terbaik Keseluruhan.

Manakala untuk Penuntut Kursus Terbaik Luar Negara Keseluruhan disandang oleh Mejar Prathap A/L Nadaison Latchmanan daripada Singapura.

Turut hadir,  Ahli Lembaga Maktab, Panglima-Panglima Perkhidmatan serta jemputan terdiri daripada Duta/Pesuruhjaya Tinggi, Penasihat Pertahanan, Pegawai Kanan Tentera, Pegawai Kanan PDRM danAPMM serta ahli keluarga peserta kursus.– airtimes.my

Galeri gambar:

Related Articles

Leave a Reply