Home Politik 304 calon lelaki, 45 wanita bakal berentap di PRN Sarawak

304 calon lelaki, 45 wanita bakal berentap di PRN Sarawak

by Nurulhuda

KUCHING, 6 Dis – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengesahkan seramai 304 orang calon lelaki dan 45 calon wanita bertanding di kesemua 82 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Umum (PRU) Sarawak ke-12 yang membuka tirainya pada hari ini.

Pengerusi SPR, Datuk Abdul Ghani Salleh berkata, kesemua kertas pencalonan mewakili pelbagai parti termasuk bebas itu layak diterima selepas tempoh penamaan calon ditutup pada jam 10 pagi tadi.

Beliau memaklumkan, calon yang berusia 60 tahun ke atas dilihat paling ramai bertanding di PRN kali ini iaitu seramai 141 calon.

“Calon yang berumur dari 50 ke 59 tahun pula seramai 113 orang dan calon muda berusia 21 hingga 29 tahun mempunyai bilangan paling sedikit iaitu seramai 8 orang sahaja,

“Di mana umur calon termuda iaitu berusia 24 tahun bertanding di DUN batu Lintang mewakili Parti Keadilan Rakyat dan di DUN Nangka dari Parti Bumi Kenyalang,

“Manakala, calon yang paling tua iaitu berusia 79 tahun bertanding di DUN Bawang Assan dari Pari Sarawak Bersatu,” katanya pada sidang media selepas proses penamaan calon, pada Isnin.

Menurutnya, SPR telah menerima dan mengesahkan sebanyak 349 kertas penamaan layak bertanding daripada pelbagai parti iaitu Gabungan Parti Sarawak (GPS) sebanyak 82 kerusi, Parti Bumi Kenyalang (PBK) di 73 kerusi, Parti Sarawak Bersatu (PSB) di 70 kerusi, PKR (28), DAP (26) dan Parti Aspirasi Rakyat Sarawak (ASPIRASI) di 15 kerusi.

“Selain itu, Parti Bansa Dayak Sarawak Baru (PBDSB) bertanding di 11 kerusi, AMANAH (8), Parti Sedar Rakyat Sarawak (SEDAR) di 5 kerusi, PAS (1) dan Bebas di 30 kerusi,” tambahnya.

Abdul Ghani berkata, sepanjang tempoh penamaan calon berlangsung, sebanyak 2 kertas penamaan ditolak iaitu di DUN Jemoreng membabitkan calon PBK dan DUN Senadin membabitkan calon Bebas.

“Di DUN Jemoreng, kertas penamaan calon PBK ditolak selepas penyokong calon menarik diri sehingga menyebabkan kertas penamaan tidak lengkap,

“Manakala di DUN Senadin, kertas penamaan calon Bebas ditolak selepas pencadang dan penyokong calon bukan pemilih berdaftar di kawasan berkenaan,” ujarnya.

Katanya, tempoh berkempen PRN Sarawak telah bermula selepas pengisytiharan pilihan raya dipertandingkan oleh pegawai pengurus sehingga jam 11.59 malam, 17 Disember ini.

Dalam masa yang sama, Abdul Ghani memaklumkan SPR menubuhkan 155 Pasukan Penguat Kuasa Kempen Pilihan Raya (PPKPR) bagi memantau semua aktiviti calon bertanding ketika berkempen.

“Prosedur operasi standard (SOP) khas pencegahan COVID-19 bagi pelaksanaan PRN Sarawak telah diluluskan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pada 5 Disember 2021 selaras dengan Peraturan 16, Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2021,

“SOP khas ini akan dilaksanakan dengan ketat di semua proses perjalanan pilihan raya iaitu taklimat petugas, proses cetakan dan semakan kertas undi sehinggalah penjumlahan rasmi undi,” tambahnya. -airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply