Home Semasa PRN Sarawak: Tiada perhimpunan, perarakan pada hari penamaan calon

PRN Sarawak: Tiada perhimpunan, perarakan pada hari penamaan calon

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 3 Dis – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menjelaskan bahawa sebarang perarakan, atau aktiviti berkumpul tidak dibenarkan di mana-mana lokasi sepanjang hari penamaan calon bagi Pilihan Raya Negeri Sarawak (PRN Sarawak) Ke-12, Isnin ini.

Setiausaha SPR, Datuk Ikmalrudin Ishak berkata, ia berikutan ketetapan melarang sebarang aktiviti berkumpul sepanjang proses berkenaan.

Beliau berkata, hanya calon, pencadang dan penyokong calon sahaja dibenarkan masuk ke Pusat Penamaan Calon (PPC).

“Penyokong parti politik yang diwakili oleh bakal calon tidak dibenarkan hadir ke PPC,

“Aktiviti berkumpul dan perarakan oleh penyokong calon bertanding juga tidak dibenarkan di mana-mana tempat sepanjang hari penamaan calon,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Ikmalrudin berkata, bagi memudahkan proses penamaan calon, SPR meminta bakal calon agar mengisi dan membuat semakan awal pengisian borang itu dengan Pejabat Pegawai Pengurus atau Pejabat Pilihan Raya Negeri Sarawak sebelum hari penamaan calon.

“Selain itu, bakal calon juga disarankan untuk membuat pembayaran deposit lebih awal dan resit pembayaran hendaklah dibawa pada hari penamaan calon sebagai bukti bayaran,

“Ini adalah untuk memastikan semua proses penamaan calon dapat diselesaikan lebih awal dan berjalan lancar,” tambahnya.

Menurutnya lagi, kertas penamaan calon boleh dikemukakan bermula jam 9 pagi sehingga 10 pagi kepada Pegawai Pengurus Pilihan Raya (RO) di 82 PPC.

“Bagi calon yang mewakili mana-mana parti politik, adalah diingatkan bahawa surat kebenaran untuk menggunakan simbol parti yang diwakili hendaklah dikemukakan semasa menyerahkan Kertas Penamaan Calon,

“SPR berharap agar proses penamaan calon berjalan lancar tanpa apa-apa insiden tidak diingini, khususnya yang boleh mengganggu ketenteraman awam,” jelasnya.

Pada masa yang sama, beliau menyeru kepada semua calon dan parti politik yang terbabit agar sentiasa mematuhi undang-undang, peraturan, tata etika dan arahan-arahan yang dikeluarkan oleh SPR, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kementerian Kesihatan (KKM), Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak serta pihak berkuasa tempatan (PBT).

SPR menetapkan PRN Sarawak diadakan pada 18 Disember manakala pengundian awal pada 14 Disember 2021 setelah Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak dibubarkan pada 3 November lalu.

Seramai 1,252,014 orang pengundi di Sarawak layak mengundi dalam PRN-12. Mereka terdiri daripada 1,228,858 pengundi biasa; 12,585 anggota tentera dan pasangan; 10,458 anggota polis dan pasangan serta 113 pengundi tidak hadir luar negara. -airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply