Home SemasaGlobal UAE, Amerika Syarikat lapor kes jangkitan pertama Omicron

UAE, Amerika Syarikat lapor kes jangkitan pertama Omicron

by M.Daim

KUALA LUMPUR, 2 Dis – Bilangan negara melaporkan kes COVID-19 varian Omicron kian bertambah apabila Emiriyah Arab Bersatu (UAE) dan Amerika Syarikat (AS) melaporkan virus tersebut telah dikesan di negara masing-masing.

Kementerian Kesihatan UAE mengesahkan kes pertama melibatkan seorang wanita pengembara dari Afrika.

“Pesakit telah mendapat vaksin secukupnya mengikut standard protokol kesihatan UAE,” lapor Emirates News Agency.

Tambahnya, pesakit tidak menunjukkan sebarang simptom jangkitan.

Sementara itu, Jabatan Kawalan Jangkitan Penyakit (CDC) AS melaporkan kes pertama Omicron di California.

“Kes melibatkan individu yang pulang mengembara dari Afrika Selatan pada 22 November lalu. Pesakit menunjukkan simptom jangkitan yang ringan,

“Kesemua kontak rapat telah menjalani saringan kesihatan dan disahkan negatif dari COVID-19,” kata CDC dalam satu kenyataan.

Terdahulu, Ketua Pengarah Badan Kesihatan Dunia (WHO), Dr Tedros Adhanom mengesahkan sebanyak 23 negara telah melaporkan kes jangkitan Omicron.

Omicron sebelum ini dikenali sebagai B.1.1.529 telah disenaraikan sebagai varian yang membimbangkan (Varian of Concern, VoC) bersama varian Delta. – airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply