Home Pertahanan dan Keselamatan Pameran DSA dan NATSEC 2022 dilangsungkan secara hybrid

Pameran DSA dan NATSEC 2022 dilangsungkan secara hybrid

by Air Times News Network

KUALA LUMPUR, 30 Nov – Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) 2022 dan Pameran Antarabangsa Keselamatan Kebangsaan (NATSEC) Asia 2022 akan dilangsungkan secara hybrid pada 28 hingga 31 Mac ini di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC).

Tentera Darat Malaysia (TDM) menerusi hantaran di laman sosialnya berkata, kerajaan Malaysia telah membuat ketetapan untuk meneruskan penganjuran DSA dan NATSEC bagi tahun 2022.

“DSA dan NATSEC 2022, akan dilaksanakan mengikut norma baharu,

“Kedua-dua acara akan dilangsungkan secara hybrid dan akan turut dilengkapi dengan aplikasi secara maya sebagai kemudahan kepada pelawat dan tetamu, samada dari dalam mahupun luar negara yang tidak dapat menghadiri kedua-dua acara tersebut secara fizikal,” kata hantaran itu.

Menurut TDM, Jawatankuasa Induk bagi kedua-dua acara tersebut telah bersidang buat kali kedua bagi membincangkan berkenaan pelaksanaan acara tersebut di MITEC, semalam.

Mesyuarat tersebut dipengerusikan bersama Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Pertahanan, Datuk Seri Muez Abd Aziz, KSU Kementerian Dalam Negeri, Datuk Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz dan Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Affendi Buang TUDM.

Turut sama hadir Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Zamrose Mohd Zain.

DSA 2022 merupakan edisi ke-17 penganjurannya dan NATSEC merupakan satu segmen yang baharu kali kedua diperkenalkan di dalam DSA, yang tampil dengan bertujuan untuk memperkukuhkan penglibatan sektor keselamatan dan penguatkuasaan. – airtimes.my

 

Related Articles

Leave a Reply