Home SemasaGlobal Pesakit dijangkiti Omicron pamer gejala yang sangat ringan – Doktor Afrika Selatan

Pesakit dijangkiti Omicron pamer gejala yang sangat ringan – Doktor Afrika Selatan

by M.Daim

JOHANNESBURG, 29 Nov – Seorang doktor dari Afrika Selatan mendakwa pesakit COVID-19 yang dijangkiti varian Omicron menunjukkan gejala yang ringan.

Menurut doktor persendirian dan pengerusi Persatuan Perubatan Afrika Selatan, Dr. Angelique Coetzee , rumusan beliau adalah berdasarkan pemerhatian terhadap beberapa orang pesakit yang menerima rawatan di kliniknya.

Tambahnya, pesakit yang hadir ke kliniknya pada 18 November lalu telah mengadu mengalami keletihan melampau dan beberapa gejala lain seperti pening kepala serta sakit badan selama 2 hari.

“Simptom yang ditunjukkan adalah amat berkait rapat dengan jangkitan virus biasa,” katanya.

Jelasnya, pesakit tersebut didapati positif COVID-19 selepas ujian saringan dilakukan. Coetzee menyatakan ada sesuatu yang tidak kena apabila klinik beliau telah didatangi oleh beberapa orang pesakit yang mempunyai simptom yang sama.

“Kami telah melihat ramai pesakit yang menghidap varian Delta semasa gelombang ketiga (di Afrika Selatan. Situasi ini tidak menepati gambaran klinikal,” kata Coetzee yang dipetik oleh Reuters.

Beliau menambah, pihak klinik telah memaklumkan situasi tersebut kepada Pusat Kebangsaan bagi Penyakit Berjangkit (NICD) berserta keputusan klinikal.

“Kebanyakan pesakit menunjukkan mereka mengalami gejala yang sangat ringan dan tiada seorang pun di antara mereka dimasukkan ke wad.

“Kami berjaya merawat mereka secara konservatif di rumah,” ujarnya

Coetzee merupakan salah seorang ahli jawatankuasa penasihat vaksin Afrika Selatan turut menjelaskan varian baharu ini adalah berbeza dengan Delta kerana tiada pesakit yang mengadu kehilangan deria rasa atau bau. Malah, tiada penurunan mendadak kandungan oksigen dalam kandungan darah dilaporkan.

Tambahnya, sebahagian bilangan pesakit yang dirawat oleh beliau adalah tidak divaksin.

“Setakat ini, kebanyakan aduan klinikal yang diterima adalah rasa penat untuk selama beberapa hari dan diikuti sakit kepala serta sakit badan,” katanya.

Omicron diisytiharkan sebagai Varian yang Membimbangkan (Varian of Concern) oleh Badan Kesihatan Dunia (WHO) pada 26 November lalu.

Varian ini mula dikesan di Afrika Selatan pada 21 November lalu berdasarkan sampel pesakit yang bertarikh 9 November. Penularan wabak ini telah menyebabkan sekatan perjalanan dikuatkuasakan semula di beberapa buah negara termasuk Malaysia bagi membendung varian tersebut. – airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!