Home Politik Bersatu tak bertanding PRN Sarawak – Muhyiddin

Bersatu tak bertanding PRN Sarawak – Muhyiddin

by Bernama

KUALA LUMPUR, 27 Nov – Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan bahawa parti itu tidak akan bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak yang akan diadakan bulan depan.

Muhyiddin yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) berkata keputusan itu dibuat selepas sesi perbincangan bersama Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS) Tan Sri Abang Johari Abang Openg baru-baru ini.

“Bersatu tidak akan bertanding di Sarawak kerana itu hasrat kepada pimpinan parti GPS, walaupun kita ada tempat tertentu yang kita percaya kita boleh menang, langkah ini supaya parti yang sudah ada di Sarawak menang dengan cemerlang.

“Jadi untuk menghormati pandangan pimpinan itu yang pasti saya yakin GPS mempunyai kekuatan dan GPS adalah parti rakan dalam kerajaan yang ada sewaktu saya berkhidmat…jadi kita menghormati pandangan mereka,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Persidangan Bersatu Bahagian Pagoh Kali Ketiga di Lenga, di Muar hari ini.

Bagaimanapun bekas perdana menteri itu berkata Abang Johari memberi bayangan bahawa pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), dia menyatakan mungkin akan memberi pertimbangan kepada mana-mana parti lain untuk menyertai bersama GPS termasuk PN.

“Paling penting dalam perbincangan itu (bersama Abang Johari), pandangan daripada pihak GPS ialah supaya kerusi yang sedia ada itu dikekalkan,” katanya.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 18 Dis sebagai hari pengundian bagi PRN Sarawak ke-12 dan hari penamaan calon pula ditetapkan pada 6 Dis, manakala hari pengundian awal pada 14 Dis.

Mengulas mengenai peletakan jawatan Naib Presiden Bersatu, Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen sebagai pengerusi Perikatan Nasional (PN) Melaka dan Ketua Bersatu Melaka, Muhyiddin berkata pengganti baru bagi jawatan itu akan diumumkan dalam masa terdekat.

Muhyiddin yang juga ahli parlimen Pagoh berkata tindakan Mohd Rafiq disifatkan sebagai satu langkah terhormat, sekali gus membolehkan rombakan Badan Pimpinan Negeri (BPN) dapat dibuat susulan pasca PRN Melaka.

“Terbukti benar dia meletakkan jawatan berundur dan ini satu langkah terhormat, iaitu memberi laluan supaya kita dapat buat rombakan BPN. Saya akan putuskan siapa yang bakal mengganti ataupun rombakan yang lain dalam tempoh beberapa hari lagi,” katanya.

Semalam, Mohd Rafiq mengumumkan keputusannya meletak jawatan berkuat kuasa serta-merta, bagi memberi peluang kepada kepimpinan baru untuk mengetuai Bersatu Melaka dan PN Melaka, supaya mempunyai masa mencukupi bagi membuat persiapan menghadapi PRU15.

Ketika ditanya mengenai saranan Umno supaya PRU15 disegerakan, Muhyiddin berkata dia telah pun memaklumkan kepada Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob, supaya perbincangan diadakan bagi menentukan masa yang bersesuaian.

“Saya sudah maklumkan kepada perdana menteri supaya ada perbincangan dibuat untuk menentukan masa yang sesuai, mungkin di peringkat perdana menteri mengikut perlembagaan ia akan membawa kepada Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

“Tapi saya pasti ia akan mengambil pertimbangan, situasi dan keadaan serta kerjasama antara parti politik yang dijalinkan menerusi perjanjian persefahaman (MOU), dalam menstabilkan situasi politik,” kata Muhyiddin yang juga Adun Pagoh.

Pada 21 Nov lepas, Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan yang juga Adun Rantau, dilaporkan berkata wajar PRU15 diadakan dalam masa terdekat.-Bernama

Related Articles

Leave a Reply