KUALA LUMPUR, 24 Nov – Tentera Laut Amerika Syarikat (US Navy) dan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) mula melaksanakan latihan bersama Maritime Training Activity (MTA) Malaysia 2021, semalam.
Latihan bersama ini dijangka akan berlangsung selama 8 hari.
Menurut Bahagian Perhubungan Awam Destroyer Squadron SEVEN US Navy, latihan ini dilaksanakan secara hibrid dengan melibatkan sidang secara maya serta latihan lapangan.
“Latihan bersama selama 8 hari ini memberi fokus kepada evolusi kerjasama dan spektrum penuh terhadap keupayaan angkatan laut kedua-dua negara,
“Ia turut menekankan keupayaan serta kerjasama antara Amerika Syarikat-Malaysia dalam mencapai matlamat bersama bagi memastikan rantau Indo-Pasifik bebas dan terbuka,” katanya.
Fasa Latihan Laut akan dilaksanakan di Selat Melaka di mana aset udara serta permukaan dari kedua-dua tentera laut akan melaksanakan latihan bersama.
“Latihan bersama ini akan merangkumi latihan di kawasan laut bagi membuktikan keupayaan kedua-dua angkatan laut untuk melaksanakan operasi secara bersama termasuk di peringkat taktik dan komunikasi,
“Antara latihan yang dilaksanakan adalah peperangan di permukaan, latihan selaman, ulang bekal, penembakan dan pertukaran kemahiran,” ujarnya.
MTA 2021 merupakan kesinambungan 27 tahun hubungan rapat antara TLDM dan US Navy dalam memperkukuhkan keupayaan bersama bagi mendukung kestabilan dan keselamatan maritim. – airtimes.my
Galeri Gambar: