Home Pertahanan dan KeselamatanTentera Udara Nahas pesawat Hawk: TUDM serah sumbangan kepada waris, mangsa

Nahas pesawat Hawk: TUDM serah sumbangan kepada waris, mangsa

by Nurulhuda

SUBANG, 23 Nov – Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) telah menyampaikan sumbangan kepada waris Allahyarham Kapten Mohamad Affendi Bustamy TUDM yang maut di dalam kemalangan pesawat Hawk 108 di Butterworth pada 16 November lalu.

Sumbangan telah disampaikan oleh Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Ackbal Abdul Samad TUDM kepada isteri Allahyarham, Nurul ‘Izati Shari serta ibu bapa Mohamad Affendi di kediaman mereka di Muadzam Shah, Pahang, hari ini.

TUDM dalam kenyataan berkata, Ackbal dan isteri, Puan Sri Norainy Shahar Alam menzahirkan ucapan takziah dan turut berdukacita di atas insiden yang mengorbankan Kapten Mohamad Affendi yang juga merupakan suatu kehilangan besar kepada TUDM.

“Panglima Tentera Udara telah menyampaikan sumbangan kepada waris Allahyarham dari Tabung Musa’adah dan Tabung Khairat Kematian Koperasi Tentera serta sumbangan daripada Tabung KSSKA TUDM kepada isteri dan ibu Allahyarham,

“Isteri Panglima Tentera Udara, Puan Sri Norainy Shahar Alam turut menyampaikan sumbangan daripada badan Kebajikan Keluarga Angkatan Tentera (BAKAT) Udara kepada isteri kedua-dua juruterbang pesawat Hawk yang terlibat,” jelas TUDM.

Sebelum itu, Ackbal juga telah melakukan lawatan dan menziarahi keadaan Mejar Mohd Fareez Omar TUDM yang cedera di Hospital Seberang Jaya, Pulau Pinang.

Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Ackbal Abdul Samad TUDM melakukan lawatan dan menziarahi keadaan Mejar Mohd Fareez Omar TUDM yang cedera di Hospital Seberang Jaya, Pulau Pinang.

Beliau turut menyampaikan sumbangan berbentuk bantuan kewangan daripada Tabung Musa’adah dan Tabung Kelab Sukan, Sosial dan Kebajikan ATM (KSSKA) di samping memberikan kata-kata semangat dan mendoakan kesihatan Mejar Mohd Fareez.

“Mohd Fareez yang mengalami kecederaan di bahagian tulang belakang selamat menjalani pembedahan pada 17 November 2021 di Hospital Seberang Jaya,

“Beliau dalam keadaan stabil dan masih ditempatkan di hospital bagi pemantauan perubatan dan rawatan susulan oleh pegawai perubatan,” tambahnya.

Pada 16 November lalu, sebuah pesawat pejuang TUDM yang sedang melaksanakan latihan penerbangan telah terhempas dan mengakibatkan kematian seorang juruterbang TUDM, iaitu Kapten Mohamad Affendi Bustamy. Kemalangan itu turut mengakibatkan kecederaan kepada Mejar Mohd Fareez Omar TUDM.

Turut hadir, Panglima Wilayah Udara 1, Mejar Jeneral Datuk Zahani Zainal Abidin TUDM dan isteri, Datin Lynette Mohamad; Asisten Ketua Staf Tadbir, Brigedier Jeneral Suhaimi Sahri TUDM serta pegawai eksekutif Pangkalan Udara Butterworth. -airtimes.my

 

Related Articles

Leave a Reply