Home Pertahanan dan KeselamatanTentera Udara Nahas pesawat Hawk: Juruterbang selesai jalani pembedahan, keadaan stabil

Nahas pesawat Hawk: Juruterbang selesai jalani pembedahan, keadaan stabil

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 19 Nov – Juruterbang pesawat pesawat Hawk, Mejar Mohd Fareez Omar TUDM yang mengalami kecederaan di bahagian tulang belakang telah selamat menjalani pembedahan di Hospital Seberang Jaya, Pulau Pinang, pada Rabu.

Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dalam kenyataan memaklumkan, beliau selamat menjalani pembedahan tanpa komplikasi buat masa sekarang dan telah sedar serta dalam keadaan yang stabil.

“Mohd Fareez yang mengalami kecederaan di bahagian tulang belakang selamat menjalani pembedahan pada 17 November jam 7 petang di Hospital Seberang Jaya, Pulau Pinang,

“Beliau selamat menjalani pembedahan tanpa komplikasi buat masa sekarang dan sedar serta dalam keadaan yang stabil,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurut TUDM, Mohd Fareez kini dalam pemantauan pegawai perubatan dan memerlukan rawatan susulan.

“Bagi rancangan rawatan selanjutnya, TUDM akan terus memastikan urusan rawatan perubatan diuruskan dengan sebaik-baiknya,

“Urusan kebajikan isteri beliau, Puan Siti Hajar Abdullah serta 2 anak yang masing-masing berusia 3 tahun dan 5 bulan dikoordinasi oleh Pangkalan Udara Butterworth,” jelasnya.

Dalam kenyataan yang sama, TUDM menjelaskan, pihaknya kini telah menubuhkan Lembaga Siasatan untuk menjalankan siasatan terperinci berhubung insiden kemalangan pesawat Hawk 108 terbabit.

“TUDM juga meminta semua pihak agar tidak membuat sebarang spekulasi dan berita yang tidak sahih kebenarannya serta turut sama mendoakan kesembuhan kepada Mejar Mohd Fareez Omar TUDM,” tambahnya.

Pada Selasa lalu, pesawat pejuang Hawk TUDM dilaporkan terhempas ketika 2 juruterbangnya mengadakan sesi latihan penerbangan malam.

Insiden mengorbankan nyawa Kapten Mohamad Affendi Bustamy, 31, manakala, Mohd Fareez cedera dan menerima rawatan di Hospital Seberang Jaya (HSJ).

Jenazah Mohamad Affendi selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Muadzam Shah, Pahang pada Rabu.-airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply