Home Pertahanan dan Keselamatan Kementerian Pertahanan serah sumbangan kepada keluarga Kapten Mohamad Affendi

Kementerian Pertahanan serah sumbangan kepada keluarga Kapten Mohamad Affendi

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 19 Nov – Kebajikan keluarga anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sentiasa menjadi keutamaan Kementerian Pertahanan dan akan memastikan keluarga Allahyarham Kapten Mohamad Affendy Bustamy diberikan bantuan dengan sewajarnya.

Kementerian Pertahanan dalam satu kenyataan berkata, Timbalan Menterinya, Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz telah mengadakan lawatan kebajikan serta menyantuni keluarga Allahyarham Mohamad Affendi, juruterbang Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang terkorban dalam insiden kemalangan pesawat Hawk di Pangkalan Udara Butterworth pada Selasa lalu.

Sesi lawatan itu berlangsung di kediaman keluarga Allahyarham di Taman Redan Perdana, Muadzam Shah, Pahang, pada Khamis.

“Datuk Sri Ikmal Hisham telah bertemu dengan balu Allahyarham, Nurul ‘Izati Shari serta kedua ibu bapa Allahyarham, Bustamy Tuahara dan Siti Razilah Daud bagi menzahirkan rasa simpati beliau di atas insiden yang telah berlaku,” jelas kenyataan itu.

Beliau turut menyampaikan salam takziah dari Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussien dan pucuk pimpinan tertinggi Kementerian Pertahanan.

Ikmal Hisham turut menyampaikan sumbangan peribadi ikhlas daripada Menteri Kanan Pertahanan dan sumbangan peribadi daripada beliau sendiri kepada balu dan keluarga Allahyarham.

Selain itu, Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Veteran Angkatan Tentera Malaysia (JHEV ATM), Mejar Jeneral Datuk Dzulkarnain Ahmad turut menyampaikan sumbangan dari Yayasan Veteran ATM kepada balu Allahyarham.

“Ikmal Hisham dan delegasi Kementerian Pertahanan kemudiannya bersama-sama keluarga Allahyarham menyempurnakan majlis bacaan Yasin dan tahlil untuk arwah,” tambahnya.

Hadir sama ialah Asisten Ketua Staf Tadbir Markas Tentera Udara, Brigedier Jeneral Mohd Suhaimi Sahri. -airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply