Home Pertahanan dan Keselamatan Kumpulan terakhir MALBATT 850-8 selamat pulang ke tanah air

Kumpulan terakhir MALBATT 850-8 selamat pulang ke tanah air

by Nurulhuda

SUBANG, 18 Nov – Seramai 253 pegawai dan anggota kumplan terakhir Batalion Malaysia 850-8 (MALBATT 850-8) selamat tiba di tanah air selepas menamatkan misi Pasukan Tentera Sementara Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNIFIL) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Lubnan.

Kumpulan terakhir ini tiba di tanah air pada jam 5.43 petang, semalam telah diketuai oleh Kolonel Azudin Hassan turut disertai seorang warga Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) dan seorang Pegawai Tadbir Diplomatik dari Kementerian Pertahanan.

Penerbangan pulang mereka ke tanah air turut disertai oleh Panglima Angkatan Bersama, Leftenan Jeneral Datuk Yazid Arshad TUDM yang melaksanakan lawatan kerja beliau bermula 9 November lalu.

Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Affendi Buang TUDM berkata, kumpulan MALBATT 850-8 bukan sahaja berjaya melaksanakan misi sebagai satu pasukan dengan cemerlang malah turut membanggakan negara sepanjang berada di bumi Lubnan.

“Sudah tentunya bukan sahaja kami, malah negara turut berbangga kerana kombinasi yang mantap antara warga ATM dan ABDB di dalam MALBATT sering mendapat pujian kontinjen-kontinjen negara lain dan pimpinan tertinggi UNIFIL di samping turut disenangi oleh rakyat setempat di kawasan tanggungjawab mereka khususnya,” ujarnya.

MALBATT 850-8 telah melaksanakan tugas selama setahun di bumi Lubnan bagi misi UNIFIL sebagai pasukan pengaman dalam menguatkuasakan Resolusi 1701 Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu pada 14 November 2020.

Kontinjen ini diletakkan di bawah kawalan operasi Markas Sektor Barat dan ditempatkan di 2 petempatan tetap iaitu di Kem Ma’rakah dan Kem Tibnin dan melaksanakan tugas-tugas operasi khususnya kawasan yang dipertanggungjawabkan.

Ketibaan kontinjen ini juga, tanpa disambut oleh ahli keluarga mereka bagi mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan untuk mengelakkan sebarang penularan wabak COVID-19.

Kesemua mereka juga menjalani saringan kesihatan sebelum dikuarantinkan di penempatan MALBATT Village di Port Dickson.

Turut hadir, Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Zamrose Mohd Zain; Timbalan Panglima Tentera Laut, Laksamana Madya Datuk Rahman Ayob mewakili Panglima Tentera Laut; Panglima Bantuan Udara, Leftenan Jeneral Datuk Muhamad Norazlan Aris TUDM mewakili Panglima Tentera Udara dan Ketua Staf Markas ATM, Leftenan Jeneral Datuk Mohd Zakaria Yadi.-airtimes.my

 

Related Articles

Leave a Reply