Home Pertahanan dan Keselamatan 15 ribu kotak makanan untuk veteran tentera di seluruh negara

15 ribu kotak makanan untuk veteran tentera di seluruh negara

by Nurulhuda

SUBANG, 17 Nov – Sebanyak 15,000 kotak makanan akan disalurkan kepada Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di seluruh negara menerusi Program Bantu-Bantu Malaysia yang bertujuan untuk membantu meringankan beban warga Kementerian Pertahanan termasuk veteran yang terjejas akibat pandemik COVID-19.

Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz berkata, program ini merupakan satu manifestasi keprihatinan kerajaan dan masyarakat Malaysia terhadap kebajikan keluarga veteran ATM dan balu kepada veteran ATM yang rata-ratanya adalah tergolong di dalam kelompok B40.

Ikmal Hisham menjelaskan, sumbangan itu telah diterima daripada pengasas The Mines Resort and Country Heights Holdings, Tan Sri Lee Kim Yew dan persatuan bukan kerajaan (NGO) Bantu-Bantu Malaysia.

Menurutnya, sumbangan ini akan diserahkan kepada Kementerian Pertahanan sempena Inisiatif Gerobok Rezeki Veteran ATM 2021.

“Inisiatif Gerobok Rezeki Veteran ATM merupakan kesinambungan daripada Program ‘Mindef Prihatin’ yang merupakan inisiatif Kementerian Pertahanan untuk membantu meringankan beban warga pertahanan termasuk veteran ATM dan keluarga mereka yang terjejas akibat pandemik COVID-19,

“Sumbangan ini adalah sumbangan fasa kedua setelah fasa pertama dengan serahan sebanyak 10,000 kotak telah disempurnakan pada 27 Ogos lalu di Hotel Palace Of The Golden Horses, Seri Kembangan,

“Daripada 15,000 kotak makanan yang diterima pada hari ini, sebanyak 5,000 kotak akan diagihkan ke ATM Cawangan Sabah dan Sarawak menggunakan pesawat Airbus A400 milik Tentera udara Diraja Malaysia (TUDM), manakala selebihnya telah diterima oleh JHEV cawangan negeri-negeri di Semenanjung Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Majlis Penyerahan Kotak Makanan Program Bantu-Bantu Malaysia kepada Kementerian Pertahanan sempena inisiatif Gerobok Rezeki Veteran ATM 2021 di Pangkalan Udara Subang, pada Rabu.

Turut hadir ialah Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Zamrose Mohd Zain dan Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Muez Abd Aziz.

Tambahnya, pengagihan sumbangan kepada golongan veteran ATM dan keluarga yang layak di seluruh negara akan dilakukan oleh pejabat Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) ATM cawangan negeri dengan kerjasama pihak persatuan-persatuan veteran ATM, NGO dan komuniti setempat.

“Kementerian Pertahanan juga berbesar hati dengan kerjasama yang dizahirkan oleh Tan Sri Lee Kim Yew malahan turut mengalu-alukan kerjasama dan sumbangan badan korporat yang lain, NGO, pihak swasta, individu dan lain-lain yang ingin turut serta,

“Kami sentiasa meletakkan keutamaan terhadap kebajikan dan kesejahteraan veteran ATM serta tanggungan. Inisiatif ini juga dilihat sebagai salah satu langkah yang signifikan oleh JHEV ATM dalam menyokong usaha kerajaan dalam membantu veteran ATM dan balu yang terjejas,” ujarnya. -airtimes.my

 

Related Articles

Leave a Reply