MOSKOW, 16 Nov – India dijangka akan menerima penghantaran pertama sistem pertahanan udara S-400 Triumf dari Rusia selewat-lewatnya akhir tahun 2021.
Ketua Eksekutif Rosoboronexport, Alexander Mikheyev menjelaskan proses penghantaran tersebut adalah lebih awal daripada jadual.
Jelasnya, anggota tentera India yang akan mengoperasikan aset strategik tersebut telah selesai menjalani latihan di Rusia.
“Anggota tentera India yang akan mengoperasikan rejimen pertama S-400 telah selesai menjalani latihan dan pulang ke negara asal,
“Kesemua peralatan untuk rejimen pertama akan dihantar sebelum akhir tahun 2021,” kata Alexander yang dipetik oleh TASS.
Jelasnya, proses penghantaran sistem tersebut adalah mengikut terma kontrak yang telah ditandatangani antara Rusia dan India.
“Kumpulan pakar dari Rusia akan tiba di India selepas Hari Tahun Baru 2022 bagi membantu proses serahan,” katanya.
India telah melakukan pembelian 5 rejimen S-400 Triumf dari Rusia seawal tahun 2015.
Kontrak perolehan bernilai US$ 5.34 bilion telah dimeterai semasa lawatan Presiden Rusia, Vladimir Putin ke India pada Oktober 2018.
S-400 merupakan sistem pertahanan udara jarak jauh dan sederhana yang dikeluarkan oleh Rusia semenjak tahun 2007. Selain daripada menggempur pesawat udara, S-400 turut direka untuk memintas peluru berpandu kruis, balistik dan hipersonik.
Sistem ini berupaya untuk mengempur sasaran sejauh 400 kilometer dan mampu untuk mencapai altitud setinggi 30 km. – airtimes.my