Home Semasa PRN Melaka: 11,557 anggota tentera, polis dan pasangan undi awal esok

PRN Melaka: 11,557 anggota tentera, polis dan pasangan undi awal esok

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 15 Nov – Seramai 11,557 orang pengundi yang terdiri daripada 9,217 anggota tentera dan pasangan serta 2,340 anggota polis akan membuat undian awal di 24 buah Pusat Mengundi Awal bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka yang diadakan esok.

Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Ikmalrudin Ishak berkata, Pusat Pengundian Awal ini akan dibuka mulai jam 8 pagi bagi tujuan tersebut.

“Sepanjang proses undi awal ini, pematuhan kepada Garis Panduan Pencegahan COVID-19 di bawah Pelan Pemulihan Negara yang berkuatkuasa seperti penjarakan fizikal, amalan pemakaian pelitup muka, penggunaan pensanitasi tangan, saringan suhu badan dan merekodkan kehadiran akan dilaksanakan,

“Proses pengundian awal ini akan disaksikan oleh ajen-ajen calon bertanding. Di samping itu, SPR akan menyiarkan proses pengundian ini secara live streaming menerusi Facebook SPR,” jelasnya dalam kenyataan pada Isnin.

Ikmalrudin berkata, kesemua peti undi bagi pengundian awal akan disimpan di lokap-lokap balai polis dan kertas-kertas undi tersebut hanya akan dikira pada 20 November 2021 bermula jam 4 petang.

“Pengiraan kertas undi akan dijalankan di tempat pengiraan undi yang ditetapkan oleh SPR dan urusan pengiraan undi akan disaksikan oleh ajen-ajen calon masing-masing,” tambahnya.

SPR menetapkan tarikh mengundi bagi PRN Melaka pada 20 November depan dan undi awal pada 16 November 2021, berikutan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) pada 4 Oktober 2021 selepas 2 Ahli Dewan Undangan Negeri menarik sokongan terhadap Ketua Menteri.-airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply