Home Pertahanan dan Keselamatan Kementerian Pertahanan tambah baik keupayaan Op Benteng dalam RMK-12

Kementerian Pertahanan tambah baik keupayaan Op Benteng dalam RMK-12

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 10 Nov – Kementerian Pertahanan akan terus memperkukuhkan dan menambahbaik keupayaan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bagi memastikan keberkesanan pelaksanaan Operasi Benteng (Op Benteng) di sempadan negara.

Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz berkata, pihaknya akan meneruskan peruntukan belanjawan tahunan kepada operasi ini untuk tahun hadapan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe12).

Beliau berkata demikian dalam sesi pertanyaan Dewan Rakyat, Mesyuarat Kedua, Penggal Keempat, Parlimen ke-14, di Dewan Rakyat, hari ini.

Menurutnya, sehingga 31 Oktober lalu, seramai 16,229 pendatang asing tanpa izin (PATI) telah ditahan serta mengusir 3,666 PATI yang cuba membolosi sempadan daratan negara dan perairan negara secara haram.

“Selain daripada itu, operasi ini turut berjaya mengekang aktiviti penyeludupan di persempadanan negara dengan anggaran nilai rampasan bernilai RM668.47 juta yang melibatkan rampasan barangan seperti bahan-bahan terlarang, kenderaan dan barangan peribadi,” jelasnya ketika menjawab pertanyaan lisan daripada Ahli Parlimen Sik, Ahmad Tarmizi Sulaiman yang bertanyakan mengenai keberkesanan pertahanan negara bagi operasi National Task Force (NTF) melalui Op Benteng.

Ikmal Hisham berkata, sebanyak 84 unit pesawat tanpa pemandu (UAV) mini antara cadangan perolehan baharu bagi memantapkan lagi elemen perisikan, pemantauan dan pengawasan Op Benteng tahun hadapan.

Selain itu, kerajaan bercadang membuat perolehan 33 unit dron pelbagai guna dengan kos kedua-dua aset berkenaan dianggarkan bernilai RM2.72 juta

“Kerajaan turut bercadang membuat perolehan aset bantuan peralatan operasi termasuk 4 unit Night Vision Binocular (NVB) untuk kegunaan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), 18 outdoor action camera (Tentera Udara Diraja Malaysia), 63 ground tactical camera serta 30 walkie-talkie untuk kegunaan Tentera Darat Malaysia (TDM),

“Insya-Allah dengan kesinambungan kejayaan Op Benteng, untuk 2022 kerajaan akan peruntuk sejumlah bajet untuk memperoleh peralatan kegunaan Angkatan Tentera Malaysia untuk tingkatkan keupayaan kawalan sempadan negara,” tambahnya. -airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply