Home Pertahanan dan Keselamatan Bengkel Peluang Kerjaya Kedua, perkasa martabat veteran tentera

Bengkel Peluang Kerjaya Kedua, perkasa martabat veteran tentera

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 10 Nov – Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sentiasa menitik beratkan hal ehwal kebajikan warganya termasuk golongan veteran dalam menaikkan martabat golongan berkenaan sebagai perwira negara.

Sehubungan itu, Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Affendi Buang TUDM berkata, pihaknya sentiasa mengusahakan inisiatif-inisiatif yang mampu memberi manfaat jangka panjang kepada warganya dan ianya bermula ketika mereka masih berada di dalam perkhidmatan.

Tambahnya, dengan cara ini, warga ATM akan lebih bersedia untuk meneruskan kehidupan dengan selesa setelah meninggalkan perkhidmatan kelak.

“Pada masa sama, tanggungjawab memelihara kebajikan warga ATM ini juga turut dipandang serius oleh pihak Kementerian Pertahanan,

“Sebagai tanda komitmen Kementerian, perkara ini telah di daftarkan ke dalam Pelan Strategik MINDEF 2021-2025 di bawah Agenda Transformasi Kesejahteraan Veteran ATM,

“Kementerian Pertahanan akan berusaha untuk perihal kebajikan para Veteran ATM agar terjaga dan terpelihara demi meneruskan kehidupan yang lebih sejahtera di masa hadapan,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa merasmikan Majlis Perasmian Bengkel Peluang Kerjaya Kedua anjuran bersama Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) ATM dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), pada Selasa.

Bengkel yang disertai oleh veteran ATM ini merupakan antara usaha dalam memastikan peluang kerjaya kedua bagi golongan tersebut.

“Bengkel ini juga amat signifikan kepada Keluarga Malaysia Veteran ATM memandangkan input dan pembelajaran dalam bengkel ini bakal membantu peserta berdepan dengan majikan baharu dan dunia awam,” tambahnya.

Affendi menjelaskan, sehingga kini, Keluarga Malaysia Veteran ATM yang berdaftar dengan JHEV ATM ialah 204,020 dan daripada jumlah itu, seramai 73,863 orang bersara tanpa pencen.

“Secara purata, lebih 5,000 warga ATM akan bersara setiap tahun dengan 63 peratus dalam lingkungan umur di bawah 60 tahun, iaitu kelompok umur yang masih produktif dan mampu menyumbang kepada kemakmuran ekonomi negara,

“Menurut Ketua Pegawai Eksekutif PERKESO, lebih 47,000 majikan telah berdaftar dengan PERKESO manakala lebih 740,000 jawatan kosong turut ditawarkan menerusi portal Myfuturejobs,” ujarnya.

Pada masa yang sama, beliau berkata, menjadi harapan JHEV ATM agar bengkel ini menjadi batu loncatan khusus kepada veteran ATM dalam meningkatkan taraf sosioekonomi dan juga keboleh-pasaran mereka.

“Kerjasama JHEV ATM – PERKESO akan terus diperkasa menerusi pelaksanaan program-program susulan di seluruh negara selepas ini,

“Diharap usaha ini dapat memberi impak dan manfaat jangka panjang bukan sahaja kepada para veteran ATM tersebut, malah kepada Keluarga Malaysia secara keseluruhannya,” jelasnya.

Turut hadir, Timbalan Panglima Tentera Darat, Leftenan Jeneral Datuk Mohammad Ab Rahman mewakili Panglima Tentera Darat; Ketua Pejabat Sistem Insurans Pekerjaan PERKESO, Datuk Mohd Sahar Darusman mewakili Ketua Eksekutif PERKESO dan Ketua Pengarah JHEV, Mejar Jeneral Datuk Dzulkarnain Ahmad. -airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply