Home SemasaGlobal Menteri kutuk Perang Yaman, Duta Lubnan dihalau dari Arab Saudi

Menteri kutuk Perang Yaman, Duta Lubnan dihalau dari Arab Saudi

by M.Daim

RIYADH, 30 Okt – Kerajaan Arab Saudi dan Bahrain telah menghalau keluar Duta Lubnan dari negara masing-masing, semalam.

Ia berikutan tindakan Menteri Penerangan Lubnan yang mendakwa peperangan di Yaman merupakan tindakan agresif serta kezaliman yang dilakukan oleh Arab Saudi.

Lantaran daripada itu, Kementerian Luar Arab Saudi telah mengarahkan Duta Lubnan di negara itu keluar dalam tempoh 48 jam. Riyadh turut memutuskan untuk menghentikan import dari Beirut.

Beberapa jam kemudian, Kementerian Luar Bahrain telah mengeluarkan arahan yang sama kepada wakil kerajaan Lubnan di negara mereka.

Media Arab Saudi turut melaporkan Riyadh memanggil pulang duta mereka dari Beirut.

“Memanggil pulang duta dari Beirut tidak akan memberi kesan kepada warga Lubnan serta keluarga mereka yang tinggal dan berkerja di Arab Saudi,” kata laporan itu.

Menteri Penerangan Lubnan , George Kordahi mendakwa peperangan di Yaman adalah satu tindakan agresif dan zalim yang dilancarkan oleh Arab Saudi serta Emiriyah Arab Bersatu.

Tambahnya, peperangan tersebut merupakan satu perkara yang mengarut dan tidak masuk akal.

Perdana Menteri Lubnan, Najib Mikati dilaporkan sedang berbincang dengan Presiden Michel Aoun bagi mempertimbangkan tindakan terhadap Kordahi.

“Kenyataan oleh Kordahi tidak mewakili pandangan Lubnan dan beliau menyatakan perkara tersebut sebelum mengangkat sumpah sebagai Menteri Penerangan,

“Kami memohon Arab Saudi untuk mempertimbangkan keputusan mereka demi perpaduan dan kesejahteraan negara-negara Arab,” kata Najib Mikati.

Lubnan telah mengalami krisis ekonomi semenjak tahun 2019 dan bergantung kepada pasaran eksport bagi memastikan aliran masuk wang tunai ke negara mereka.

Walaupun pemimpin tinggi Lubnan berusaha untuk memulihkan keadaan, Kordahi enggan untuk memohon maaf atas kenyataan beliau.

Menteri Penerangan Lubnan, Kordahi merupakan bekas pengacara televisyen dan dilaporkan mempunyai hubungan rapat dengan sekutu Hezbollah, Christian Marada Movement.

Arab Saudi sebelum ini melaporkan Hezbollah telah memainkan peranan dalam membantu puak penentang Houthi di Yaman. Kedua-dua kumpulan ini mendapat sokongan daripada Iran.

Hezbollah disenaraikan sebagai kumpulan pengganas oleh Riyadh. – airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply