Home Semasa Bajet 2022: Komitmen kerajaan salur bantuan kepada Keluarga Malaysia

Bajet 2022: Komitmen kerajaan salur bantuan kepada Keluarga Malaysia

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 30 Okt – Bajet 2022 yang dibentangkan pada Jumaat menunjukkan komitmen kerajaan dalam memastikan kesinambungan konsep Prihatin Rakyat dalam menyalurkan bantuan terus kepada golongan yang terkesan, sama ada individu mahupun perniagaan dengan semangat kebersamaan dalam Keluarga Malaysia.

Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN), Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, Bajet 2022 yang dibentangkan ini adalah bagi memastikan segala bentuk bantuan dan sokongan yang diumumkan akan sampai kepada sasaran khususnya kepada semua pihak serta sektor yang terjejas teruk akibat pandemik COVID-19.

Beliau menjelaskan, langkah tersebut amat penting dalam memastikan kejayaan tahun 2022 sebagai tahun pemulihan untuk Malaysia.

“Dengan berpaksikan kepada 3 strategi utama iaitu memperkukuh pemulihan, membina daya tahan dan memacu pembaharuan, saya yakin Bajet 2022 akan terus memperkasa usaha-usaha pemulihan negara di bawah Pelan Pemulihan Negara yang sedang giat dijalankan,

“Bajet ini akan terus menyokong pemulihan negara melalui dasar fiskal yang mengembang dan dirangka berdasarkan keutamaan untuk memulihkan negara daripada kesan jangka panjang krisis pandemik terhadap sistem kesihatan awam dan struktur ekonomi,

“Ini adalah cerminan tekad kerajaan untuk mengembalikan keyakinan pelabur asing terhadap Malaysia sebagai destinasi pelaburan utama,” katanya dalam kenyataan, pada Sabtu.

Dalam masa yang sama, Muhyiddin turut menjelaskan, peruntukan kedua terbesar yang diberikan kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) amat tepat bagi memacu pemulihan negara ke fasa endemik.

Justeru, beliau berkata, penekanan pada sektor kesihatan bukan sahaja mampu menampung fasa endemik, sebaliknya, memperkukuh sistem kesihatan negara untuk menghadapi cabaran pandemik lain pada masa depan termasuk dari segi kapasiti hospital, fasiliti dan kepakaran.

“Peruntukan paling besar sebanyak RM52.6 bilion kepada Kementerian Pendidikan (KPM) pula menunjukkan keutamaan kerajaan terhadap aspek pembangunan modal insan termasuk penyediaan fasiliti dan akses pembelajaran yang masih menjadi masalah utama bagi murid di luar bandar,

“Saya berharap dana yang diperuntukkan misalnya untuk membaiki sekolah daif dapat disalurkan ke sekolah yang benar-benar memerlukan yang belum pernah mendapat bantuan kerajaan,” tambahnya.

Sehubungan itu, Muhyiddin menyeru agar semua rakyat Malaysia dapat bersatu padu dalam memastikan usaha pemulihan negara dapat berjalan dengan lancar, sekali gus dapat kembali merancakkan pembangunan ekonomi dan kesejahteraan rakyat demi mencapai aspirasi Wawasan Kemakmuran Bersama 2030. -airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply