Home Pertahanan dan Keselamatan Seludup 199 PATI, 3 kru bot warga asing dipenjara 2 tahun

Seludup 199 PATI, 3 kru bot warga asing dipenjara 2 tahun

by Nurulhuda

ALOR SETAR, 29 Okt – Tiga kru bot warga Myanmar dihukum penjara 2 tahun oleh Mahkamah Tinggi Alor Setar atas pertuduhan menyeludup masuk 199 pendatang asing tanpa izin (PATI) melalui Pantai Teluk Nibong Sirat, Langkawi tahun lalu.

Tertuduh, Muhammed Ishaq, 50; Enamullah, 28. dan Zubair, 19, membuat pengakuan tersebut sebaik sahaja pertuduhan dibacakan jurubahasa dalam bahasa Myanmar di depan Pesuruhjaya Kehakiman, Mahazan Mat Taib.

Mengikut kertas pertuduhan, ketiga-tiga mereka didakwa melakukan kesalahan itu dengan menggunakan sebuah bot asing berwarna kelabu yang tidak mempunyai nombor pendaftaran di Pantai Teluk Nibong Sirat, Langkawi.

Kesalahan itu didakwa dilakukan kira-kira pukul 9 pagi, 5 April 2020.

Difahamkan kesemua 199 pendatang asing tanpa izin (PATI) tersebut terdiri daripada individu berusia antara empat hingga 47 tahun merupakan etnik Rohingya.

Kesemua PATI merupakan etnik Rohingya terdiri daripada lelaki dan wanita serta kanak-kanak berusia antara 4 hingga 47 tahun.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 26J Akta Antipemerdangangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang boleh dikenakan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda tidak melebihi RM250,000 atau kedua-duanya sekali.

Prosiding pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Mohammad Hazwan Helmi Mohd Zainol manakala kesemua tertuduh tidak diwakili peguam.

Sementara itu, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Negeri Kedah dan Perlis dalam kenyataan berkata, pihaknya tidak akan sesekali berkompromi dengan sebarang jenayah maritim dan sentiasa memastikan setiap pesalah dihadapkan ke muka pengadilan.

Pengarah APMM Kedah dan Perlis, Laksamana Pertama Maritim Mohd Zawawi Abdullah berkata, pihaknya juga mengalu-alukan maklumat daripada seluruh komuniti maritim setempat untuk melaporkan sebarang jenayah mahupun kecemasan di laut kepada pasukan keselamatan dengan segera. -airtimes.my

 

Related Articles

Leave a Reply