Home PolitikBarisan Nasional PRN Melaka: UMNO teruskan kerjasama dengan PAS – Ahmad Maslan

PRN Melaka: UMNO teruskan kerjasama dengan PAS – Ahmad Maslan

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 29 Okt – Mesyuarat Khas Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO memutuskan untuk meneruskan persefahaman dengan PAS dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata keputusan itu selaras dengan ketetapan Perhimpunan Agong UMNO (PAU) 2020 iaitu memperkukuhkan Muafakat Nasional (MN).

“Asas perfahaman dengan PAS berpandukan kepada prinsip bahawa PAS menggunakan lambang partinya sendiri selaras dengan semangat dan ketetapan Jawatankuasa Induk Muafakat Nasional dalam mesyuarat pada 19 Oktober 2020 dan 18 November 2020,

“Ini adalah untuk mengelakkan pertembungan sesama sendiri dan pada masa sama mengekalkan penggunaan lambang parti masing-masing ketika pilihan raya,” katanya dalam satu kenyataan malam tadi.

Beliau berkata, MKT UMNO turut memberi mandat kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi; Timbalan Presiden, Datuk Seri Mohamad Hasan dan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk memuktamadkan sebarang keputusan berkaitan PRN Melaka.

Dalam pada itu, Ahmad Maslan berkata, mesyuarat turut memutuskan Mohamad dilantik sebagai Pengarah PRN Melaka.

Sementara itu, Ahmad juga dilaporkan berkata mesyuarat kali ini belum memuktamadkan nama calon dan pembahagian kerusi bagi PRN Melaka.

PRN Melaka diadakan susulan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka pada 4 Oktober lalu apabila 4 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kerajaan menarik sokongan terhadap kepimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

4 bekas ADUN berkenaan ialah Datuk Seri Idris Haron (BN-Sungai Udang), Datuk Nor Azman Hassan (BN-Pantai Kundor), Datuk Norhizam Hassan Baktee (Bebas-Pengkalan Batu) dan Datuk Noor Effandi Ahmad (BERSATU-Telok Mas).-airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply