Home SemasaGlobal Ukraine guna UAV Bayraktar TB2 gempur artileri kumpulan pro-Rusia

Ukraine guna UAV Bayraktar TB2 gempur artileri kumpulan pro-Rusia

by M.Daim

KIEV, 27 Okt – Tentera Ukraine mengesahkan pesawat tanpa pemandu (UAV) Bayraktar TB2 telah digunakan untuk kali pertama dalam operasi tempur.

Pihak Pejabat Turus Am Tentera Ukraine dalam satu kenyataan berkata, UAV buatan Turki itu telah digunakan bagi mengesan dan menggempur kedudukan artileri yang dikendalikan oleh Rusia.

“Serangan artileri dilancarkan oleh pasukan tentera penjajah Rusia di ​​Hranitne, Donetsk,

“Ukraine telah meminta tembakan dihentikan dan nota bantahan dihantar melalui saluran diplomatik,” kata kenyataan itu.

Menurutnya, permintaan oleh pihak Ukraine tidak dipedulikan dan serangan bedilan artileri diteruskan sehingga menyebabkan seorang anggota tentera Ukraine maut dan seorang lagi cedera.

“Bagi menghentikan serangan, Panglima Angkatan Tentera Ukraine telah mengarahkan UAV Bayraktar untuk melakukan tindak balas,

“Serangan artileri berhenti selepas Bayraktar mengugurkan bom panduan ke arah kedudukan bateri meriam howitzer D-30,” kata kenyataan itu.

Bayraktar TB2  (Tactical Block 2) merupakan UAV altitud sederhana berdaya tahan jarak jauh keluaran syarikat pertahanan Turki, Baykar.

UAV ini telah digunakan dalam beberapa medan konflik termasuk di Libya dan Perang Nagarno-Karabakh 2021.

Tentera Ukraine telah menerima 17 buah Bayraktar TB2 semenjak perolehan pertamanya pada tahun 2019.

Pada 1 Oktober lalu, Ukraine dan Turki telah menandatangani perjanjian pembinaan kilang menghasilkan UAV Bayraktar TB2 di Kiev. – airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply