ANKARA, 26 Okt – Kerajaan Turki bertindak menarik balik sekatan terhadap 10 orang diplomat asing yang diumumkan pada hujung minggu lalu.
“Diplomat asing mula berhati-hati dan tidak mengeluarkan sebarang kenyataan baharu,” kata Erdogan.
Beliau merujuk kepada kenyataan 10 duta asing ke Turki yang mendesak pembebasan Osman Kavala.
Osman, 64 tahun merupakan ahli perniagaan yang sedang menjalani hukuman penjara 4 tahun kerana terlibat dalam pembiayaan protes dan rampasan kuasa.
Pembebasan Osman disuarakan oleh 10 duta asing iaitu Amerika Syarikah (AS), Kanada, Perancis, Finland, Denmark, Jerman, Belanda, New Zealand, Norway dan Sweden.
Tindakan tersebut telah menimbulkan kemarahan Erdogan dan mengisytiharkan kesemua 10 diplomat asing sebagai orang yang tidak dialu-alukan (Persona Non Grata).
Erdogan turut berhubung dengan negara-negara terbabit dan menegaskan wakil mereka telah melanggar konvesyen antarabangsa yang melarang sebarang campur tangan oleh diplomat asing terhadap isu domestik.
Jelasnya, semua pihak akur bahawa mereka perlu patuh dengan konvensyen tersebut.
“Kuasa kehakiman Turki tidak menerima atau berada di bawah arahan sesiapa pun,” tegas Erdogan. – airtimes.my