Home Semasa Kerajaan lanjut beri dos penggalak kepada penerima vaksin Sinovac

Kerajaan lanjut beri dos penggalak kepada penerima vaksin Sinovac

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 22 Okt – Kerajaan memutuskan untuk melanjutkan pemberian dos penggalak (booster dose) kepada individu yang telah mendapat dos lengkap vaksin Sinovac sekurang-kurangnya 3 bulan lalu.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, individu tersebut akan diberikan dos penggalak vaksin Comirnaty secara heterologous dan keutamaan akan diberikan kepada warga emas berumur 60 tahun dan ke atas.

“Sebagai permulaan, pemberian dos penggalak secara heterologous ini akan diberikan kepada individu berumur 60 tahun ke atas,

“Ia dilakukan secara sukarela dan percuma di bawah Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK),

“Pelaksanaan pemberian dos penggalak bagi penerima vaksin Sinovac yang layak akan dimulakan pada 22 Oktober secara berfasa di seluruh negara,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Beliau berkata, individu yang layak akan dimaklumkan melalui aplikasi MySejahtera dan khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada nombor telefon yang berdaftar bagi individu yang tidak mempunyai MySejahtera.

“Kaedah temujanji pemberian dos penggalak akan ditambah baik dari masa ke masa dan tidak lama lagi penerima vaksin boleh membuat janji temu melalui sistem yang sedang dibangunkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),

“KKM amat menggalakkan supaya setiap individu yang layak mengambil dos penggalak supaya mendapat perlindungan yang optimum,” ujarnya.

Dalam pada itu, Khairy berkata, pelaksanaan pemberian dos penggalak telah dimulakan di seluruh negara sejak 13 Oktober lalu dengan menggunakan vaksin Comirnaty keluaran Pfizer-BioNTech.

“Buat masa ini pemberian dos penggalak dilaksanakan bagi penerima vaksin Comirnaty sekurang-kurangnya enam bulan yang lalu dengan keutamaan kepada anggota barisan hadapan, warga emas berusia 60 tahun ke atas serta individu dengan komorbid,” tambahnya.-airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply