Home Pertahanan dan Keselamatan COVID-19: ATM sentiasa siaga bantu Kementerian Kesihatan – Hishammuddin

COVID-19: ATM sentiasa siaga bantu Kementerian Kesihatan – Hishammuddin

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 22 Okt – Kementerian Pertahanan akan sentiasa bersiap sedia diaturgerakkan membantu Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam usaha memerangi wabak COVID-19.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein menjelaskan, Kementerian Pertahanan sentiasa terbuka untuk memberi bantuan pada sebilang masa sekiranya ada keperluan dan permohonan yang dimajukan mengikut saluran yang ditetapkan.

Beliau berkata, sehingga kini sebanyak 9 buah Hospital Medan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) telah didirikan di seluruh negara bagi membantu pihak KKM dalam merawat pesakit berkenaan.

“Hospital Medan di dalam ATM pada dasarnya digunakan semasa situasi peperangan bagi menyediakan rawatan pembedahan kecemasan kepada anggota tentera yang cedera dalam pertempuran,

“Semasa aman, kemudahan ini digunakan bagi bantuan kemanusiaan atau Humanitarian Assistance and Disaster Relief (HADR) di dalam dan luar negara,

“Bantuan semasa aman adalah pula tertakluk kepada kelulusan Majlis Keselamatan Negara (MKN),” jelasnya dalam kenyataan bagi menjawab pertanyaan lisan Dewan Negara Mesyuarat Pertama 2021, Penggal Keempat Parlimen ke-14 dari Datuk Donald Peter Mojuntin, pada Khamis.

Donald Peter meminta Menteri Kanan Pertahanan menyatakan adakah rancangan kementerian untuk mengarah ATM untuk menyediakan ‘field hospital’ serta Unit-unit Rawatan Rapi di lokasi-lokasi yang sesuai bagi mengatasi masalah kesesakan dan kekurangan fasiliti ICU di hospital-hospital kerajaan, dengan kerjasama KKM.

Sementara itu, Hishammuddin menjelaskan ATM sebelum ini turut memberi bantuan kepada hospital-hospital kerajaan dalam membantu menyediakan kemudahan Hospital Medan di hospital berkenaan.

“Sebagai contohnya sewaktu berlaku kes kebakaran Unit Rawatan Rapi Hospital Sultanah Aminah Johor Bahru pada sekitar tahun 2016, pihak ATM telah membantu menyediakan kemudahan Hospital Medan yang mengandungi dewan bedah dan peralatan x-ray,

“Selain itu, kemudahan makmal dan wad untuk pre and post operation untuk tempoh selama 3 bulan sehingga perkhidmatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultanah Aminah Johor Bahru pulih sepenuhnya,

“Bantuan-bantuan sebegini sememangnya telah dilaksanakan sepanjang masa dan akan terus dilaksanakan pada masa hadapan sekiranya ada keperluan,” jelasnya.-airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply