Home Pertahanan dan KeselamatanTentera Darat Tentera Darat bina 14 pos tambahan perkukuh kawalan sempadan Sarawak-Kalimantan

Tentera Darat bina 14 pos tambahan perkukuh kawalan sempadan Sarawak-Kalimantan

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 21 Okt – Tentera Darat Malaysia (TDM) kini sedang membina pos baharu bagi memperkukuhkan kawalan sempadan negara di Sarawak dan Kalimantan, Indonesia.

Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz berkata, pos-pos tersebut antara 14 pos baharu yang dirancang bagi pertambahan 10 pos yang sedia ada masa kini.

“TDM telah membuat perancangan untuk membina 14 lagi pos baharu daripada 10 pos sedia ada pada masa kini yang menjadikan keseluruhannya sebanyak 24 pos,

“Daripada jumlah tersebut, terdapat 4 buah pos baharu yang dibina pada tahun ini di mana 4 buah pos sedang dalam proses pembinaan iaitu Pos Padang Pan di Bau, Pos Sungai Paoh di Serian, Pos Batu Kaya di Lubok Antu dan Pos Tapak Megah di Kapit,

“TDM sentiasa memantau proses pembinaan pos-pos tersebut yang dijangka siap pada awal tahun 2022. Manakala, 10 buah pos lagi akan dibina dalam tahun 2022 hingga 2023,” jelasnya ketika sesi penggulung perbahasan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) pada persidangan Dewan Negara pada Rabu.

Bagi menangani jenayah rentas sempadan pula, beliau berkata, TDM telah menjalinkan kerjasama secara bersepadu dengan lain-lain agensi penguatkuasaan sempadan menerusi pelaksanaan Operasi Benteng (Op Benteng) mulai bulan Mei 2020.

“Sehingga bulan Oktober 2021, TDM dengan kerjasama semua agensi penguatkuasa kerajaan yang lain telah berjaya menangkap 16,069 PATI serta mengusir 2,326 PATI yang cuba membolosi sempadan Sarawak-Kalimantan secara haram,

“Selain daripada itu, operasi ini berjaya menghalang penyeludupan di persempadanan negara dengan anggaran nilai rampasan sebanyak RM34.84 juta,” tambahnya.

Menurutnya lagi, TDM juga telah menjalinkan hubungan diplomasi pertahanan dengan Tentera Nasional Indonesia – Angkatan Darat (TNI-AD) semenjak tahun 1972 melalui General Border Commitee (GBC) Malaysia-Indonesia (MALINDO).

“Ini merupakan medium utama yang digunakan kerajaan dalam memperkukuhkan jaringan keselamatan bagi menangani jenayah rentas sempadan yang melibatkan Sarawak dan Sabah dengan Kalimantan,

“Melalui jawatankuasa seperti Tim Perancang Operasi Darat (TPOD) yang diadakan pada setiap tahun melibatkan dalam melaksanakan aktiviti seperti Lawatan Timbal Balas, Unit Commander Meeting (UCM) dan Patroli Terkoordinasi (PATKOR),

“Selain itu, terdapat juga penugasan operasi secara bersama di Operasi Keris Parang dan Operasi Jagakawan di sepanjang sempadan kedua-dua negara bertujuan untuk memperketat dan memperkukuhkan lagi jaringan keselamatan di sepanjang sempadan Sarawak-Kalimantan,” ujarnya.

Jelasnya, perlaksanaan operasi di kawasan sempadan ketika ini diteruskan sebagaimana pengarahan semasa dan aturgerak anggota dan aset adalah mencukupi.

Selain itu, Ikmal menjelaskan, selain mengaturgerakkan anggota, TDM juga menggunakan dron bagi memantau kawasan-kawasan yang menjadi titik panas bagi aktiviti penyeludupan dan jenayah lintas sempadan terutama di kawasan Biawak serta Serikin, Sarawak.

“Pada masa yang sama ATM juga sedang berusaha untuk mempertingkatkan keupayaan atur gerak dengan perolehan Mini Unmanned Aerial Vehicle (UAV) untuk kegunaan TDM bagi penugasan Op Benteng yang dijangka akan diterima pada penghujung tahun ini (2021),

“Selain itu, perolehan peranti pengesan berteknologi tinggi seperti Radiobarrier Wireless Intrusion Detection System juga akan digunakan untuk pengawasan sempadan bagi memantau aktiviti penyeludupan dan jenayah lintas sempadan,

“TDM juga akan dibekalkan dengan Non-Lethal Restraint untuk digunakan bagi menahan PATI yang agresif (cuba melarikan diri) tanpa menyentuh tubuh badan mereka. Dengan perolehan aset-aset berteknologi tinggi ini akan dapat mempertingkatkan lagi kawalan keselamatan di persempadanan negara,” jelasnya bagi menjawab pertanyaan Senator Datuk Zaiedi Zaiedi bin Haji Suhaili berkenaan penggunaan dron bagi rondaan dan CCTV bagi pemantauan di sempadan negara. -airtimes.my

 

Related Articles

Leave a Reply