Home Semasa Kerajaan pertimbang sertai projek pembangunan semula di Afghanistan

Kerajaan pertimbang sertai projek pembangunan semula di Afghanistan

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 21 Okt – Malaysia sedia menimbang untuk menyertai projek-projek pembangunan semula di Afghanistan membabitkan beberapa sektor termasuklah ekonomi digital, industri halal dan pendidikan.

Timbalan Menteri Luar, Datuk Kamaruddin Jaafar berkata, selain itu, terdapat juga beberapa bidang lain seperti sektor pembangunan dan pengurusan lapangan terbang; pembangunan dan perancangan bandar dan perkhidmatan perbankan Islam serta takaful.

Menurutnya, usaha sebegini boleh dilaksanakan secara terus dengan pihak tertentu di negara terbabit atau menerusi kerjasama dengan negara-negara ketiga.

“Kerajaan sedang meninjau peluang kerjasama dengan beberapa negara dalam projek pembangunan semula Afghanistan,

“Jalinan kerjasama ini termasuk dalam bidang fizikal seperti infrastruktur dan bina upaya bagi rakyat Afghanistan. Sebagai contoh, sebuah syarikat dari Malaysia sedang mengadakan perbincangan untuk menguruskan lapangan terbang antarabangsa Hamid Karzai di Kabul,

“Menteri Luar juga sudah mengadakan perbincangan dengan rakan-rakan sejawat beliau termasuk Menteri Luar Turki, Qatar dan Indonesia serta Setiausaha Agung Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) mengenai perkembangan di Afghanistan,” katanya pada sesi penggulungan Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12) peringkat kementeriannya di Dewan Negara, hari ini.

Beliau berkata, buat masa ini, masyarakat antarabangsa banyak memberi tumpuan kepada aspek-aspek bantuan kemanusiaan dan hala tuju pemerintahan kerajaan baharu Afghanistan.

“Sebagai permulaan, kerajaan sudah mengumumkan sumbangan sejumlah AS$100,000 (RM415,959) yang disalurkan melalui Pejabat Penyelaras Bantuan Kemanusiaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (OCHA),” tambahnya.

Sementara itu, mengenai cadangan projek terowong kereta api bawah tanah yang menghubungkan Melaka dan Sumatera, Kamaruddin menjelaskan, projek infrastruktur berskala mega seumpama ini, semestinya datang dengan cabaran yang tersendiri dari sudut keselamatan, sosio-ekonomi negara mahu pun ancaman kepada alam sekitar.

“Cadangan untuk membangunkan sebarang infrastruktur pengangkutan yang menghubungkan Malaysia dan Indonesia memerlukan analisis kos faedah yang jitu, kajian secara menyeluruh dan penelitian yang mendalam dari pelbagai aspek sebelum ianya dapat dilaksanakan,

“Rundingan dengan pihak Indonesia dalam membincangkan kebolehlaksanaan projek infrastruktur pengangkutan ini juga seharusnya dilaksanakan secara strategik dan terancang,” ujarnya bagi menjelaskan cadangan yang dikemukakan oleh Senator Muhammad Zahid Md Arip. -airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply