Home Pertahanan dan KeselamatanTentera Darat Tentera Darat cekup 30 PATI Indonesia cuba seludup masuk dan keluar di Pasir Logok

Tentera Darat cekup 30 PATI Indonesia cuba seludup masuk dan keluar di Pasir Logok

by Nurulhuda

KOTA TINGGI, 20 Okt – Hasrat 30 orang pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Indonesia untuk masuk dan keluar secara haram dari negara gagal, apabila kesemua mereka ditahan oleh anggota Tentera Darat Malaysia dalam Operasi Benteng (Op Benteng), pagi tadi.

Sel Perhubungan Raya Markas Divisyen Ketiga Infantri Malaysia (3 Div) berkata, kesemua mereka ditahan selepas mendapat maklumat daripada anggota petugas Pos Pemerhati yang mengesan pergerakan sekumpulan individu berjalan menuju ke tepi pantai Pasir Logok.

“Hasil maklumat tersebut, pasukan telah menghantar Tim Quick Reaction Force (QRF) bagi melaksanakan serbuan dan berjaya menahan 25 PATI yang sedang menunggu bot untuk pulang ke negara asal,

“Pada jam 09.00 pagi pula, 5 lagi PATI ditahan di sekitar kawasan tersebut dipercayai baru saja tiba ke negara ini melalui jalan yang tidak sah,

“Kesemua 30 PATI tersebut yang terdiri daripada 25 lelaki dan 5 wanita warga negara Indonesia berusia sekitar 19 hingga 53 tahun,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM 41,367.00 melibatkan matawang Malaysia RM 15,713.30, Indonesia IDR 20,207,625.00 (RM 5,958.97) dan 40 buah telefon bimbit serta barang kemas.

“Kesemua PATI ditahan dan dibawa ke Markas Taktikal Tanjung Sepang untuk menjalani pemeriksaan dan saringan COVID-19 sebelum diserahkan kepada pihak Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Setia Tropika, Kempas,

“Manakala, laporan Polis telah dibuat di Balai Polis Bayu Damai,” tambahnya.

Pada masa yang sama, 3 Div menjelaskan, pasukannya meneruskan atur gerak tim QRF dan tim Dron Bahagian Staf Perisikan Pertahanan (BSPP) serta bantuan dari pasukan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) bagi menjejak kemungkinan saki baki PATI di sekitar kawasan tangkapan. -airtimes.my

 

 

Related Articles

Leave a Reply