Home Pertahanan dan Keselamatan APMM halau bot cuba seludup masuk 40 PATI Indonesia

APMM halau bot cuba seludup masuk 40 PATI Indonesia

by Nurulhuda

PELABUHAN KLANG, 19 Okt – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Selangor telah memintas dan menghalau cubaan menyeludup masuk 40 pendatang asing tanpa izin (PATI) oleh sebuah bot dari Indonesia, awal pagi tadi.

Pengarah Maritim Malaysia Negeri Selangor, Kepten Maritim Rosli Kassim berkata, Pusat Operasi Maritim Negeri Selangor (PUSOP) telah menerima maklumat risikan berkaitan pergerakan sebuah bot disyaki membawa PATI telah keluar dari Tanjung Balai, Asahan sekitar jam 9.00 malam dengan membawa lebih kurang 40 orang PATI warganegara Indonesia dan dipercayai menuju ke perairan Selangor.

Beliau berkata, kira-kira jam 12.20 malam, radar Sistem Pengawasan Laut (SWASLA) APMM yang berpangkalan di Area Command Centre (ACC) Klang telah mengesan bot sasaran tersebut yang sedang bergerak dari perairan Permatang Sedepa menuju ke perairan Morib.

“Berikutan itu bot PENGGALANG 10 (APMM) yang dalam tugasan Operasi Benteng (Op Benteng) Sektor 5 telah digerakan bagi pemintasan sasaran dengan dibantu bot PR4 Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM),” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Rosli menjelaskn, pada sekitar jam 2.00 pagi, Penggalang 10 dan PR4 tiba di lokasi dan telah bertembung bot disyaki dengan nama KM SINAR UTAMA membawa PATI, lalu mengarahkan untuk berhenti.

“Namun, tekong KM Sinar Utama bertindak agresif memecut laju dan melakukan pergerakan merbahaya yang bertujuan meloloskan dari ditahan serta berusaha merapat ke kawasan pantai,

“Penggalang 10 dan PR4 terus menghalang tindakan KM Sinar Utama dengan menghimpit dan membayangi secara kejar buru sehingga ke laut lepas bagi menghindar daripada menuju dan mendarat di pantai,

“Dalam tempoh kejar buru hampir 1 jam 30 minit itu, KM Sinar Utama masih berdegil untuk berhenti serta bergerak secara agresif dan merbahaya,” jelasnya.

Beliau berkata, Penggalang 10 dan PR 4 seterusnya melaksanakan tugas pengusiran dengan membayangi KM Suria Utama keluar dari perairan negara sepenuhnya sekitar jam 4.00 pagi, seterusnya dipantau rapat oleh radar SWASLA di ACC Klang.-airtimes.my

 

Related Articles

Leave a Reply