Home PolitikPakatan Harapan Anwar tolak faedah, kemudahan bertaraf menteri

Anwar tolak faedah, kemudahan bertaraf menteri

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 17 Okt – Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menolak faedah dan kemudahan bertaraf menteri termasuk gaji dan elaun bulanan.

Anwar dalam kenyataan berkata sebaliknya, dana tersebut juga akan didermakan kepada tabung rakyat miskin.

“Saya tidak bersetuju dengan butiran-butiran sepertimana disebut dalam surat tawaran kepada saya yang diutus Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob termasuk bayaran gaji bulanan berjumlah RM14,907.20 dan RM12,320.00 untuk elaun keraian,

“Kemudahan itu sebahagian daripada kemudahan penuh yang diberikan kerajaan kepada seorang menteri membabitkan bayaran gaji bulanan dan elaun keraian, bayaran khas berjumlah RM1,500 sebulan, elaun rumah sebanyak RM4,000 sebulan dan elaun selenggara rumah sebanyak RM833 sebulan,

“Elaun pakaian panas (sekali dalam 3 tahun) pula sebanyak RM6,000, elaun pakaian upacara rasmi (sekali dalam 3 tahun) RM1,500, elaun bayaran pakaian ‘black tie’ (sekali dalam 3 tahun) RM1,500 dan sebuah kereta rasmi serta penggunaan kenderaan peribadi untuk tugas rasmi,

“Saya juga telah tegaskan kepada pihak Parlimen yang menyediakan pejabat saya untuk tidak membuat sebarang pengubahsuaian dan diberi peruntukan tambahan,” katanya malam tadi.

Dalam masa yang sama, Anwar mengucapkan penghargaan kepada Perdana Menteri dan kerajaan kerana bersetuju menambah baik taraf Parlimen serta fungsi Ketua Pembangkang seperti mana-mana negara demokratik lain.

“Seperti yang dinyatakan Perdana Menteri dalam surat kepada saya, keputusan ini tidak menjejaskan peranan Ketua Pembangkang. Saya akan tetap menjalankan tugas seperti sediakala,

“Aspek semak imbang akan terus diperhebat bagi memastikan negara ini terus di landasan demokrasi,” tambahnya. -airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply