Home Pertahanan dan Keselamatan ESSCOM agih 200 pek keperluan asas kepada penduduk Kampung Pulau Berhala

ESSCOM agih 200 pek keperluan asas kepada penduduk Kampung Pulau Berhala

by Nurulhuda

SANDAKAN, 16 Okt – ESSCOM telah menyerahkan sebanyak 200 buah bakul makan kepada penduduk yang terjejas akibat wabak pandemik COVID-19 di Zon Selamat Sabah Timur (ESSZONE).

Program ini telah disempurnakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif ESSCOM, Dr. Jamaluddin Mohd. Ali dan Ketua Staf Bahagian Operasi Laut mewakili Komander Eastern Command, Laksamana (M) Che Engku Suhaimi Che Engku Daik di Masjid Nur Islam, Kampung Pulau Berhala.

“Bakul makanan yang mengandungi barang keperluan asas iaitu beras, tepung gandum, gula, minyak masak dan mihun telah diagihkan kepada penerima yang terjejas hasil sumbangan syarikat Ikhlas Com Travel Sdn. Bhd (IKHLAS),

“ESSCOM turut menyumbang mesin sanitasi untuk penggunaan di masjid kepada Ketua Kampung Pulau Berhala,

“Sebelum itu, Ketua Pegawai Eksekutif ESSCOM bersama-sama Ketua Staf Bahagian Operasi Laut berkesempatan melaksanakan sanitasi di ruang solat masjid,” katanya dalam hantaran di media sosial ESSCOM, hari ini.

Selain ESSCOM, program ini turut melibatkan kerjasama pegawai-pegawai kanan daripada agensi kerajaan negeri dan persekutuan termasuklah Majlis Perbandaran Sandakan, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Maritim Sandakan dan Markas Wilayah Laut 2 Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

“Selain itu, Ibu Pejabat Polis Daerah, Pasukan Polis Marin (PPM) yang masing-masing berpusat di daerah Sandakan turut sama-sama menjayakan program ini,

“Turut memberikan kerjasama dalam menjayakan program ini adalah Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am Bahagian Sandakan dan Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) DUN N.56 Tanjung Papat,” jelasnya.

Menurutnya, program ini merupakan kesinambungan inisiatif Program Kementerian Dalam negeri (KDN) Prihatin yang dilancarkan di mukim Yan, Kedah oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin dalam memberi bantuan sewajarnya kepada masyarakat setempat yang terkesan akibat COVID-19 dan fokus sasaran bantuan ESSCOM adalah di daerah-daerah dalam ESSZONE. -airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply