Home Pertahanan dan Keselamatan Pendirian Malaysia dalam isu AUKUS kekal – Hishammuddin

Pendirian Malaysia dalam isu AUKUS kekal – Hishammuddin

by Air Times News Network

[embedyt] https://www.youtube.com/watch?v=yuWb_Ae6kD8[/embedyt]

 

KUALA LUMPUR, 12 Okt – Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, Malaysia kekal konsisten dengan pendirian berhubung pakatan strategik keselamatan baharu Australia, United Kingdom (UK) dan Amerika Syarikat (AUKUS) yang berpotensi menganggu gugat keamanan serta kestabilan di Asia Tenggara.

Beliau berkata, pendirian ini telah ditegaskan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang mana pembentukan AUKUS melahirkan kegusaran rantau ASEAN kerana mengganggu gugat keamanan dan kestabilan rantau serta bakal memprovokasi kuasa-kuasa lain untuk turut bertindak lebih agresif di rantau ini terutama di Laut China Selatan.

“Pendirian ini tidak berganjak walaupun selepas saya bertemu dengan Utusan Khas Australia, Naib Laksamana David Johnston baru-baru ini dan sebelum itu saya adakan perbualan telefon bersama Menteri Pertahanan, Australia Peter Dutton,

“Dalam kedua-dua perbincangan ini, saya telah tegaskan bahawa Malaysia tidak mahu diheret dalam geopolitk pertimbangan kuasa-kuasa besar dunia di rantau ini,” katanya bagi menjawab soalan Datuk Mohd Nizar Zakaria (UMNO-Parit) yang mahu tahu pendirian terkini kerajaan berhubung AUKUS susulan kunjungan Johnston baru-baru ini.

Menurut Hishammuddin, sebagai sebuah negara ASEAN, Malaysia berpegang prinsip untuk kekalkan ASEAN sebagai Zon Aman, Bebas dan Berkecuali (Zopfan).

“Australia harus hormati prinsip ini dan pendirian Malaysia terhadap kapal selam berkuasa nuklear yang beroperasi di perairan Malaysia termasuk di bawah Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu berkaitan Undang-undang Laut 1982 (UNCLOS) dan Perjanjian Zon Bebas Senjata Nuklear Asia Tenggara (SEANWFZ),

“Saya juga maklumkan kepada mereka bahawa sekiranya kapal perang atau kapal selam berkuasa nuklear memasuki wilayah perairan Malaysia, berhasrat atau mahu laksana latihan ketenteraan bersama Malaysia, persetujuan khas daripada kerajaan Malaysia mestilah terlebih dahulu diperoleh yang mana ia akan pertimbangkannya secara mengikut kes,” katanya ketika Waktu Pertanyaan Menteri pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Katanya, walaupun Utusan Khas Australia telah menerangkan bahawa AUKUS bukan pakatan ketenteraan tetapi sebaliknya sebuah kerjasama bagi perkongsian teknologi kapal selam berkuasa nuklear serta menjelaskan program kapal selam berkuasa nuklear ini tidak melibatkan persenjataan nuklear selaras dengan Non-Proliferation of Nuclear Weapons Treaty (NPT) 1968.

“Namun saya mengingatkan kepada Menteri Pertahanan dan Utusan Khas Australia bahawa semua pihak harus menghindari daripada menggunakan sebarang tindakan ketenteraan yang dianggap provokatif atau berpotensi meningkatkan ketegangan serta mencetuskan konflik,

“Saya turut menekankan bahawa pendirian Malaysia tidak akan berganjak iaitu sebarang masalah, perbezaan dan pertikaian perlu ditangani, konsisten dan jelas menerusi dialog dan jalan perundingan,” jelasnya. – airtimes.my

 

 

Related Articles

Leave a Reply