Home Pertahanan dan KeselamatanTentera Darat ATM rasmi Jalan Tok Ujang, abadikan jasa wira Perang Dunia Kedua

ATM rasmi Jalan Tok Ujang, abadikan jasa wira Perang Dunia Kedua

by Air Times News Network

[embedyt] https://www.youtube.com/watch?v=Ay3hJbLr1Ac[/embedyt]

 

KUALA LUMPUR, 12 Okt – Angkatan Tentera Malaysia (ATM) memberi penghargaan kepada Allahyarham Prebet Ujang Mormin dengan menamakan jalan yang berada di Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja (1 RAMD) di Kem Perdana Sungai Besi, Kuala Lumpur dengan nama ‘Tok Ujang’.

Tentera Darat Malaysia (TDM) berkata, penamaan nama jalan Tok Ujang dalam Kem 1 RAMD adalah mengambil kira sumbangan dan jasa yang telah Allaryarham sumbangkan kepada tanahair semasa berkhidmat.

Pemilihan lokasi di Kem 1 RAMD adalah berdasarkan sejarah perkhidmatan Allahyarham Tok Ujang yang pernah berkhidmat di pasukan tersebut.

Nama Tok Ujang adalah panggilan mesra kepada Allahyarham yang sering digunakan oleh saudara-mara serta kenalan.

Majlis Perasmian Jalan Tok Ujang telah disempurnakan oleh Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Datuk Zamrose Mohd Zain, hari ini.

Allahyarham Prebet Ujang Mormin merupakan seorang veteran perang yang pernah berjuang bersama Allahyarham Leftenan Adnan Saidi ketika menentang pendudukan Jepun ke atas Tanah Melayu pada tahun 1942.

Majlis Perasmian Jalan Tok Ujang telah disempurnakan oleh Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Datuk Zamrose Mohd Zain, hari ini.

Pada 9 Feb 2021, Tok Ujang telah menghembuskan nafas terakhir pada usia 99 tahun di Hospital Sungai Buloh akibat jangkitan COVID-19.

“Jenazah Allahyarham telah diberikan penghormatan istiadat pengkebumian ketenteraan di Pusara Rejimen Askar Melayu Diraja, Port Dickson, Negeri Sembilan,

“Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Maimunah Iskandariah telah berkenan mengutuskan surat takziah serta ampun kurnia bantuan kepada waris Allahyarham,” kata TDM.

Pemergian Allahyarham juga turut mendapat zahir ucapan takziah daripada Tuanku Sultan Kedah, Al- Aminul Karim Sultan Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah selaku Kolonel Yang Dipertua Rejimen Askar Melayu Diraja.

Allahyarham Tok Ujang dilahirkan pada 14 Jun 1921 di Kampung Kundur, Rembau, Negeri Sembilan dan berkahwin dengan Che Nah Bahauddin serta dikurniakan 3 orang anak.

“Pada tahun 1939, Tok Ujang menyertai Tentera British dan seterusnya mengikuti latihan awal ketenteraan di Port Dickson setelah diterima dalam pemilihan Tentera Askar Malaya,

“Allahyarham bersama pasukan yang turut dianggotai oleh Allahyarham Leftenan Datuk Adnan Saidi diaturgerakkan ke Gap Ridge, Singapura pada tahun 1942 semasa tercetusnya perang dunia kedua,

“Beliau berada bersama kompeni yang mempertahankan Bukit Chermin manakala Allahyarham Leftenan Datuk Adnan Saidi mempertahankan Bukit Chandu, dalam pertempuran tersebut, “Allahyarham telah mengalami kecederaan pada bahagian tangan akibat terkena serpihan bom Tentera Jepun,” ujarnya.

TDM juga berkata, pihaknya sentiasa mendokong hasrat kerajaan untuk mengenang dan menghargai jasa serta pengorbanan perajurit yang telah mempertaruhkan nyawa untuk kedaulatan negara.

Turut hadir, waris Allahyarham, Lailawati Jamil, Panglima Medan Barat Tentera Darat, Leftenan Jeneral Datuk Muhammad Hafizuddeain Jantan, Panglima 2 Divisyen selaku Pengerusi Kor RAMD, Mejar Jeneral Datuk Arman Rumaizi Ahmad dan Panglima 4 Divisyen, Mejar Jeneral Datuk Ya’cob Samiran. – airtimes.my

 

Related Articles

Leave a Reply