Home Politik Sekurang-kurangnya kerajaan baharu mula siasat buku Tommy Thomas – Zahid Hamidi

Sekurang-kurangnya kerajaan baharu mula siasat buku Tommy Thomas – Zahid Hamidi

by M.Daim

KUALA LUMPUR, 11 Okt – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini menegaskan siasatan dan penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) terhadap dakwaan bekas Peguam Negara, Tommy Thomas wajar dilakukan bagi merungkai pelbagai persoalan.

Beliau dalam satu hantaran di akaun media sosial rasminya berkata, negara perlukan jawapan kepada segala persoalan disebalik pendedahan yang dilakukan oleh Tan Sri Tommy Thomas dalam buku memoirnya, My Story: Justice in the Wilderness”.

Tegas Zahid, pendedahan oleh bekas peguam negara tersebut merupakan satu dakwaan yang serius dan ancam Perlembagaan Negara.

“Dakwaan yang diterbit dalam buku itu merupakan suatu yang sangat serius melibatkan maruah serta keluhuran Perlembagaan dan kedaulatan undang-undang negara,

“Seperti saya pernah nyatakan desakan supaya perkara itu disiasat bukan baru, sebaliknya telah dibuat oleh ramai pihak sejak awal tahun ini dengan ratusan laporan polis juga telah dibuat,

“UMNO melalui Setiausaha Agung, Datuk Seri Ahmad Maslan turut membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi pada 5 Februari 2021,” katanya.

Beliau menambah, Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO pada 27 Ogos 2021 telah mengulangi desakan meminta kerajaan menubuhkan RCI.

Jelas Zahid, RCI merupakan badan siasatan paling tinggi dalam negara dan syor-syor yang dikeluarkan pihak tersebut perlu dipatuhi.

“Sama ada ‘disengajakan’ atau ‘tidak disengajakan’, pendedahan menerusi buku tersebut menimbulkan pelbagai persoalan,

“Persoalan yang terungkai malah berpotensi menjawab kepada lebih banyak persoalan kepada apa yang berlaku selepas tarikh 9 Mei 2018,” katanya.

Beliau menyambut baik langkah kerajaan untuk menubuhkan pasukan siasatan khas berhubung pendedahan yang terkandung dalam buku oleh Tommy Thomas.

“Kerajaan baharu sekurang-kurangnya telah memulakan langkah untuk menyiasat perkara itu berbanding kerajaan terdahulu. Semoga kebenaran akhirnya terserlah,” ujar beliau.

Pada 9 Oktober lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memaklumkan mesyuarat kabinet telah bersetuju untuk menubuhkan pasukan petugas khas siasatan berhubung pendedahan serta dakwaan buku My Story: Justice in the Wilderness oleh bekas Peguam Negara, Tommy Thomas.

Penubuhan pasukan petugas tersebut akan membuat kajian awal sebelum mengambil sebarang tindakan terhadap Tommy Thomas.

Pasukan petugas ini dipengerusikan oleh bekas Ketua Hakim Negara yang akan dilantik manakala Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) dan Jabatan Peguam Negara (AGC) bertindak sebagai urusetia.

Pasukan petugas ini akan menyiasat dakwaan salah guna kuasa dalam isu pelantikan hakim, campur tangan badan eksekutif melampau dalam badan kehakiman, pendakwaan terpilih dan bersifat politik serta pelanggaran sumpah kerahsiaan seperti didakwa oleh Tommy Thomas dalam buku memoirnya. – airtimes.my

 

 

 

 

 

Related Articles

Leave a Reply