Home Semasa Nota bantahan langkah tidak iktiraf tuntutan negara asing di Laut China Selatan

Nota bantahan langkah tidak iktiraf tuntutan negara asing di Laut China Selatan

by M.Daim

[embedyt] https://www.youtube.com/watch?v=mO9BTRstreE[/embedyt]

 

KUALA LUMPUR, 11 Okt – Timbalan Menteri Luar, Datuk Kamarudin Jaffar hari ini menegaskan tindakan mengeluarkan Nota Bantahan Diplomatik berhubung pencerobohan kapal asing di perairan negara adalah langkah untuk tidak mengiktiraf sebarang tuntutan oleh negara asing di Laut China Selatan.

Beliau dalam Ucapan Penggulungan Titah Diraja di Dewan Negara turut menyatakan tindakan tersebut turut dibuat kepada China berhubung pencerobohan kapal negara itu di perairan Malaysia.

“Malaysia secara konsisten mengemukakan Nota Bantahan Diplomatik kepada pihak kerajaan negara-negara  yang mana kapal asing milik kerajaan negara tersebut didapati menceroboh perairan,

“Tindakan ini diambil selaras dengan undang-undang antarabangsa dan pendirian Malaysia untuk mempertahankan kedaulatan dan hak kedaulatan dalam perairan negara,

“Tindakan ini juga adalah sebagai langkah Malaysia yang tidak pernah mengiktiraf tuntutan negara-negara penuntut Laut China Selatan, termasuk China, apabila tuntutan tersebut melibatkan perairan negara berdasarkan Peta Baru Malaysia 1979,” katanya.

Beliau menambah, isu Laut China Selatan merupakan satu isu yang kompleks kerana melibatkan hubungan antara negara.

“Ia perlu dikendalikan secara menyeluruh dan setiap tindakan yang diambil oleh Kerajaan adalah berdasarkan pertimbangan yang komprehensif,” ujar beliau.

Jelas Kamarudin, Malaysia tidak akan sesekali berkompromi dalam perkara yang boleh menjejaskan keutuhan wilayah, kedaulatan dan kepentingan negara.

“Dalam mengendalikan isu Laut China Selatan, kedaulatan dan kepentingan negara menjadi asas utama berhubung pendirian serta tindakan yang akan diambil oleh Kerajaan Malaysia,” katanya.

Tambah Timbalan Menteri Luar, Malaysia mempunyai pendirian jelas dalam isu Laut China Selatan.

“Pertamanya, semua pihak perlu memastikan keamanan, keselamatan dan kestabilan serta kebebasan pelayaran dan penerbangan (freedom of navigation and over–flight),

“Keduanya, semua pihak perlu mengelakkan tindakan yang boleh menimbulkan ketegangan dan bersifat provokatif, mengamalkan self–restraint, dan mengelakkan tindakan berkaitan ketenteraan (militarisation),” katanya.

Selain daripada itu, pendirian Malaysia turut disuarakan secara konsisten di platform-platform serantau dan antarabangsa.

“Malaysia menegaskan bahawa Laut China Selatan mesti kekal menjadi laluan perdagangan dan perairan yang aman,” tegas Kamarudin. – airtimes.my

 

Related Articles

Leave a Reply