Home Politik Pencalonan Timbalan Speaker: Tarik diri untuk fokus kerja parti – Ahmad Maslan

Pencalonan Timbalan Speaker: Tarik diri untuk fokus kerja parti – Ahmad Maslan

by M.Daim

KUALA LUMPUR, 7 Okt – Ahli Parlimen Pontian, Datuk Seri Ahmad Maslan hari ini mengesahkan penarikan balik pencalonan beliau sebagai Timbalan Speaker Dewan Rakyat.

Beliau dalam satu sidang media di Dewan Parlimen berkata, keputusan telah dibuat semalam selepas berjumpa pemimpin tinggi UMNO termasuk Perdana Menteri.

“Saya telah berbincang dengan Presiden UMNO, Timbalan Presiden, dan 3 Naib Presiden termasuk Perdana Menteri, semalam,

“Saya telah membuat keputusan untuk tarik diri daripada pencalonan Timbalan Speaker Dewan Rakyat,” katanya.

Ahmad Maslan menambah, beliau telah berjumpa dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun berhubung keputusan tersebut.

Menurut beliau, keputusan penarikan diri dibuat kerana kedudukan beliau sebagai Setiausaha Agung UMNO yang memerlukan banyak masa.

“Saya ingin menumpukan perhatian kepada kerja, tugas, amanah dan tanggungjawab kepada UMNO yang merupakan parti terbesar serta mempunyai keahlian teramai,”  jelasnya.

Ahmad Maslan menambah, tanggungjawab sebagai Setiausaha Agung UMNO perlu diberikan fokus berikutan situasi semasa politik tanah air yang mencabar.

Menyentuh pencalonan untuk jawatan Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Ahmad Maslan namanya dipilih oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

“Perdana Menteri yang cadang nama saya, bukan saya lobi. Saya terima pencalonan tersebut kerana menghormati dan setuju pencalonan oleh beliau,” katanya.

Selain daripada itu, Ahmad Maslan menolak keputusan penarikan balik jawatan ada kaitan dengan kenyataan oleh Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin yang menegaskan bilangan 2 Timbalan Speaker adalah mencukupi.

“Keputusan saya telah buat semalam, ia tiada kaitan dengan PN,” jelasnya. – airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply