Home PolitikPakatan Harapan Pembubaran DUN Melaka: TYT tidak diberikan nasihat yang betul – Pakatan Harapan

Pembubaran DUN Melaka: TYT tidak diberikan nasihat yang betul – Pakatan Harapan

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 6 Okt – Pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka telah membuka laluan untuk Pilihan Raya Negeri (PRN) diadakan.

Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) meluahkan rasa kesal dengan tindakan tersebut kerana ia boleh mengancam nyawa rakyat pada ketika pandemik COVID-19 yang melanda negara belum berakhir.

Menurutnya, tindakan Yang di-Pertua Negeri Melaka, TYT Tun Datuk Sri Utama Dr Ali Rustam, telah membubarkan DUN berdasarkan nasihat yang salah dari Ketua Menteri yang telah hilang sokongan majoriti Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).

“Berdasarkan Perlembagaan Negeri Melaka, Ketua Menteri tersebut telah hilang jawatan dan kelayakan untuk menasihati TYT setelah 4 ADUN menarik sokongan terhadap beliau pada Isnin lalu,

“Majlis Presiden PH telah mengadakan mesyuarat hari ini untuk membincangkan keadaan politik semasa di Melaka, termasuk pengumuman pembubaran DUN pada Selasa,

“TYT sepatutnya meneliti dan mengikuti Perlembagaan Negeri Melaka, serta bertemu dengan 15 ADUN iaitu pihak yang telah memperoleh majoriti sebelum membuat sebarang keputusan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kenyataan bersama tersebut telah ditanda tangani oleh Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Presiden AMANAH, Mohammad Sabu; Setiausaha Agong DAP, Lim Guan Eng dan Presiden Pertubuhan Progresif Kinabalu Bersatu (UPKO), DSP Wilfred Madius Tangau.

Mereka menegaskan, tindakan itu bukan sahaja telah melanggari duluan (precedent) bagi negeri Melaka itu sendiri tetapi ia juga tidak selari dengan duluan Mahkamah Persekutuan.

“Pada 2020 nasihat Ketua Menteri ketika itu (Adly Zahari) untuk membubarkan DUN tidak diterima setelah hilang majoriti,

“Malah ianya juga tidak selari dengan duluan Mahkamah Persekutuan dalam kes Nizar Jamaluddin lawan Zambry Abdul Kadir di mana sokongan majoriti boleh ditentukan di luar DUN,

“Majlis Presiden turut berasa kesal kerana tindakan pembubaran DUN Melaka ini telah membuka laluan untuk Pilihan Raya Negeri diadakan, yang boleh mengancam nyawa rakyat pada ketika pandemik COVID-19 belum lagi terkawal sepenuhnya,” tambahnya.

Terdahulu, Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Mohd Ali Rustam bersetuju membubarkan DUN Melaka Keempat Belas berkuatkuasa pada Isnin.

Perkara itu dimaklumkan Ab Rauf dalam sidang media pada petang Selasa.

Jelasnya, keputusan itu dibuat Tun Mohd Ali selepas Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali telah mengutuskan surat kepadanya berhubung 4 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang hilang kepercayaan kepada Ketua Menteri.-airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply