Home Semasa Johor, Pahang beralih Fasa PPN Sabtu ini

Johor, Pahang beralih Fasa PPN Sabtu ini

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 6 Okt – Mesyuarat Jawatankuasa Khas Pengurusan Pandemik COVID-19 bersetuju untuk membenarkan peralihan Fasa Pelan Pemulihan Negara (PPN) bagi Johor dan Pahang berkuatkuasa 8 Oktober ini.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussien berkata, Johor akan beralih daripada Fasa 2 kepada Fasa 3 PPN, manakala Pahang dari Fasa 3 ke Fasa 4 PPN.

Beliau menjelaskan, peralihan fasa ini dibuat mengikut garis panduan yang ditetapkan oleh PPN dan setelah mengambil kira penilaian risiko semasa oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“Prosedur Operasi Standard (SOP) bagi negeri-negeri yang memasuki fasa 3 dan 4 adalah sama dengan sebelum ini. Keterangan SOP terkini akan dikemaskini oleh MKN di laman sesawang www.mkn.gov.my,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dalam masa yang sama, Hishammuddin menjelaskan, beberapa lagi kelonggaran baharu dipersetujui dibenarkan beroperasi berkuatkuasa Sabtu ini.

“Antara kelonggaran tersebut termasuklah, waktu beroperasi pasar borong di Fasa 2 dan Fasa 3 dibenarkan mengikut syarat lesen dan permit Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) seperti mana yang ditetapkan dengan syarat pekerja di vaksin lengkap dan mematuhi SOP sedia ada,

“Pelaksanaan Upacara Mengikat Thaali di rumah ibadat kuil bagi agama Hindu dan Pernikahan Kudus (Holy Matrimony) bagi agama Kristian dibenarkan dalam tempoh PPN. Kementerian Perpaduan akan memaklumkan kepada Persatuan Agama Hindu dan Persatuan Agama Kristian berhubung SOP yang perlu dipatuhi,

“Pengoperasian aktiviti lelongan awam bagi barangan sandaran dibawah sektor pajak gadai yang berdaftar di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dibenarkan berdasarkan syarat yang ditetapkan,

“Sektor tembakau dan rantaiannya dibenarkan untuk beroperasi di Fasa 2 PPN dan seterusnya,” jelasnya.

Selain itu, beliau turut menasihati rakyat agar terus mengamalkan SOP, meningkatkan penilaian kendiri demi melindungi diri sendiri dan juga masyarakat sekeliling daripada wabak COVID-19.

“Dalam usaha negara #ReopeningSafely, perkara paling penting adalah untuk kita semua tidak cepat berasa selesa dan bersikap sambil lewa,

“Disebalik semua kelonggaran yang telah diumumkan, hakikat yang harus kita hadapi adalah kita semua terpaksa hidup bersama virus COVID-19,” tambahnya.-airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply