Home Pertahanan dan KeselamatanTentera Darat Tingkat keupayaan pertahanan negara, Tentera Darat Malaysia isytihar pengoperasian semula Batalion ke-26 RAMD

Tingkat keupayaan pertahanan negara, Tentera Darat Malaysia isytihar pengoperasian semula Batalion ke-26 RAMD

by Nurulhuda

TAWAU, 5 Okt – Tentera Darat Malaysia (TDM) hari ini mengisytiharkan pengoperasian semula Batalion Ke-26 Rejimen Askar Melayu Diraja (26 RAMD) secara rasmi bagi meningkatkan tahap keupayaan pertahanan negara.

Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Zamrose Mohd Zain berkata, pengoperasian semula 26 RAMD merupakan detik yang terpenting dan pencapaian yang amat membanggakan dalam perkembangan pembangunan TDM.

Beliau berkata, TDM sentiasa meletakkan keutamaan dalam meningkatkan kesiagaan ketumbukannya sebagai persediaan menghadapi sebarang bentuk ancaman terhadap keselamatan dan kesejahteraan negara.

“Alhamdulillah, selepas 7 tahun penubuhan semula batalion ini, kita berjaya mengisytiharkan pengoperasian semula 26 RAMD secara rasmi pada hari ini,

“Saya berharap agar batalion ini dapat memikul amanah yang diberi dengan sebaik-baiknya melalui pelaksanaan tugas dan tanggungjawab dengan penuh kesungguhan serta bersemangat waja,

“Jika setiap warga 26 RAMD memainkan peranan masing-masing dengan sempurna, saya percaya batalion ini akan mengecapi kejayaan cemerlang dan muncul sebagai pasukan tempur yang unggul, kompeten dan tangkas,” katanya.

Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Zamrose Mohd Zain bersama anggota dan Pegawai 26 RAMD di Majlis Pengoperasian Batalion Ke-26 RAMD dan Pelancaran Buku Op Daulat di Padang Kawad, Kem Kukusan, hari ini. Foto: TDM

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Pengoperasian Batalion Ke-26 RAMD dan Pelancaran Buku Op Daulat di Padang Kawad, Kem Kukusan, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Panglima Tentera Darat, Leftenan Jeneral Datuk Muhammad Ab Rahman; Panglima Medan Barat, Leftenan Jeneral Datuk Muhammad Hafizuddeain Jantan; dan Panglima Medan Timur, Leftenan Jeneral Datuk Mardzuki Muhammad.

Dalam majlis yang sama, Zamrose turut merasmikan pelancaran Buku Op Daulat yang dihasilkan bersempena peristiwa sebenar yang berlaku semasa Operasi Daulat di Lahad Datu pada 2013.

Menurutnya, penghasilan buku itu bagi memberi gambaran sebenar insiden pencerobohan tentera Kesultanan Sulu serta mengenang jasa dan pengorbanan semua anggota keselamatan yang terlibat dalam operasi itu.

26 RAMD telah ditubuhkan di bawah rancangan Malaysia Ketiga, sejajar dengan perkembangan TDM pada 25 Mac 1980. Namun, di atas beberapa faktor tersendiri, pasukan ini telah dibubarkan pada 1 November 1994.

Batalion ini kemudiannya telah ditubuhkan semula pada 26 Mei 2014 dan ditempatkan di Kem Kukusan, Tawau, Sabah.

Penubuhan semula batalion ini merupakan sebahagian daripada proses aturgerak dan penambahan batalion tentera di Pantai Timur Sabah, rentetan dari insiden pencerobohan Lahad Datu pada 2013. -airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply