Home Pertahanan dan Keselamatan Pencerobohan perairan Malaysia: Wisma Putra panggil Duta Besar China

Pencerobohan perairan Malaysia: Wisma Putra panggil Duta Besar China

by M.Daim

PUTRAJAYA, 5 Okt – Duta Besar Republik Rakyat China telah dipanggil oleh Kementerian Luar Negeri, semalam.

Wisma Putra dalam satu kenyataan berkata, pihak Kementerian Luar Negeri telah menyatakan pendirian dan bantahan terhadap keberadaan dan aktiviti kapal-kapal China, termasuk kapal penyelidikan, di dalam Zon Ekonomi Eksklusif Malaysia di luar pesisir Sabah dan Sarawak.

“Keberadaan dan aktiviti kapal-kapal tersebut adalah bertentangan dengan Akta Zon Ekonomi Eksklusif 1984 dan Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Undang-Undang Laut (KUUL) 1982,

“Pendirian dan tindakan konsisten Malaysia adalah berdasarkan undang-undang antarabangsa, demi mempertahankan kedaulatan dan hak kedaulatan di dalam perairan negara,” kata kenyataan itu.

Menurut Wisma Putra, Malaysia turut menyuarakan bantahan terhadap pencerobohan oleh kapal-kapal asing yang lain ke dalam perairan negara.

“Dalam menentukan pendirian dan tindakan yang diambil oleh Malaysia berhubung isu Laut China Selatan yang kompleks dan melibatkan hubungan antara negara, kepentingan negara akan terus dijadikan sebagai asas utama,

“Malaysia mengulangi pendirian bahawa semua perkara yang berkaitan dengan Laut China Selatan perlu diselesaikan secara aman dan konstruktif, selaras dengan prinsip undang-undang antarabangsa yang diiktiraf secara sejagat, termasuk KUUL 1982,” jelasnya. – airtimes.my

 

 

Related Articles

Leave a Reply